Gaji RM1,500 macam mana nak hidup di KL?

Setiap anggota baharu dalam pasukan PDRM boleh dikategorikan sebagai kumpulan miskin apabila menerima gaji di bawah gaji minimum dengan permulaan RM1,441. - Gambar hiasan
Setiap anggota baharu dalam pasukan PDRM boleh dikategorikan sebagai kumpulan miskin apabila menerima gaji di bawah gaji minimum dengan permulaan RM1,441. - Gambar hiasan
A
A
A

“MACAM mana anggota polis nak hidup di KL dengan gaji bersih RM1,500?”

Itu persoalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain baru-baru ini mengenai skim gaji bagi anggota polis yang baru direkrut sebagai konstabel.

Realitinya, setiap anggota baharu dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) boleh dikategorikan sebagai kumpulan miskin apabila menerima gaji di bawah gaji minimum dengan permulaan RM1,441.

Lebih menyedihkan apabila anggota dalam kategori tersebut ditugaskan di kawasan bandar besar seperti Kuala Lumpur yang menjadikan mereka sebagai golongan B40 dan miskin bandar.

Dengan kos sara hidup yang tinggi, dihimpit pula dengan barang keperluan serba-serbi mahal, ada antara mereka perlu menanggung anak, isteri atau ahli keluarga yang sakit.

Sebab itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain baru-baru ini mencadangkan kepada kerajaan supaya skim gaji permulaan bagi Konstabel (YA1) sebanyak RM1,441 diselaraskan dengan kadar gaji minimum RM1,500 sebulan.

Selain penyelarasan tangga gaji, PDRM turut mengemukakan beberapa cadangan, khususnya bagi meningkatkan tahap integriti pasukan.

Bagaimanapun, segelintir pakar berpandangan gaji permulaan konstabel polis sepatutnya melebihi gaji minimum dengan mengambil kira tanggungjawab besar yang digalas pasukan itu. Mereka bukan sahaja menjaga keamanan negara, malah ada antara mereka bertarung nyawa bagi membanteras jenayah.

Artikel Berkaitan:

Persatuan Veteran Polis Malaysia turut menyokong penuh usaha dan inisiatif bagi penambahbaikan yang perlu melibatkan skim gaji polis terutamanya bagi Pegawai Rendah Polis (PRP). Kadar gaji yang bersesuaian dengan kos hidup semasa dilihat mampu meningkatkan kualiti kerja, disiplin dan integriti anggota serta pegawai PDRM.

Menyentuh tentang integriti, tidak keterlaluan dikatakan gaji rendah ini juga antara punca berlakunya perbuatan rasuah melibatkan pasukan keselamatan negara.

Saban hari ada sahaja berita mengenai anggota PDRM terlibat salah guna kuasa, malah Mohd Shuhaily juga pernah mendedahkan terdapat anggota berpangkat rendah dipercayai sanggup bersekongkol dengan sindiket jenayah semata-mata untuk mendapatkan habuan.

Bayangkan, seorang anggota berpangkat sarjan boleh hidup mewah dengan memiliki Alphard, Vellfire dan Mercedes-Benz tanpa diketahui daripada mana sumber hartanya itu.

Beliau menyedari terdapat penyelewengan yang dilakukan oleh kalangan pegawai dan anggota polis, malah ada anggota yang sanggup membunuh antara satu sama lain disebabkan wang.

Kongres Kesatuan Pekerja Perkhidmatan Awam (Cuepacs) juga pernah mengeluarkan kenyataan bahawa pendapatan kakitangan awam yang rendah menjadi punca perbuatan rasuah dalam kalangan pekerja dalam sektor tersebut terus berlaku.

Keperluan hidup ketika ini jauh berbeza daripada dahulu dan cabaran yang dilalui juga pastinya jauh lebih besar. Selain perlu melunaskan pelbagai bil utiliti, hutang rumah, kereta, bagi yang berkahwin dan memiliki anak, pastinya lebih banyak kos diperlukan. Ini kerana banyak perut yang perlu dijaga dan ‘diisi’ supaya tiada yang menangis kelaparan.

Maka kenaikan gaji bagi kumpulan bawahan amat wajar kerana kos sara hidup yang kian menekan sudah tidak relevan dengan gaji sedia ada.

Terbaharu, Cuepacs turut mencadangkan supaya skim gaji minimum penjawat awam dinaikkan kepada RM1,800. Ia bagi menjamin kehidupan golongan penjawat awam supaya dapat menjalani kehidupan dalam keadaan sedikit selesa dengan kenaikan kos sara hidup.

Kerajaan perlu mengambil inisiatif meningkatkan kadar gaji dan upah kakitangan awam ke tahap yang lebih tinggi atau sesuai dengan kadar semasa.

Namun, isu gaji rendah ini bukanlah hanya berlaku di kalangan penjawat awam sahaja, sebaliknya hampir semua sektor termasuk swasta.

Usahkan gaji RM1,500, bergaji RM3,000 sekalipun belum tentu cukup untuk hidup di zaman serba mahal ini!

*Arney Syema Anua ialah Editor Pengisian Sinar Online.