Jangan dilupa dalam manis ada pahitnya...

Skuad skuasy tampil cemerlang apabila membawa pulang tiga pingat emas pada Sukan Asia Hangzhou 2022.
Skuad skuasy tampil cemerlang apabila membawa pulang tiga pingat emas pada Sukan Asia Hangzhou 2022.
A
A
A

SUDAH lebih seminggu temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 melabuhkan tirainya. Seperti diramal, tuan rumah, China sekali lagi membuktikan dominasi mereka selaku ‘Raja Asia’ temasya sukan paling berprestij di rantau ini.

Tampil selaku tuan rumah buat kali ketiga selepas penganjuran edisi 1990 di Beijing dan Guangzhou (2010, China nyata dalam kelas tersendiri apabila bergelar juara 11 edisi berturut-turut.

Dengan pungutan sebanyak 201 emas, 111 perak dan 71 gangsa, China mengukuhkan status mereka sebagai kuasa besar Sukan Asia dengan muncul juara sejak edisi 1982 lagi.

Itu serba ringkas rumusan yang boleh dibuat terhadap kontinjen China. Bagaimana pula dengan rumusan prestasi dan pencapaian kontinjen Malaysia? Atas kertas, kontinjen Malaysia berjaya melepasi sasaran pingat yang telah ditetapkan.

Skuad hoki lelaki negara gagal menyerlah sekalipun diletakkan harapan tinggi pada Sukan Asia Hangzhou 2022.
Skuad hoki lelaki negara gagal menyerlah sekalipun diletakkan harapan tinggi pada Sukan Asia Hangzhou 2022.

Kontinjen Malaysia membawa pulang 32 pingat secara keseluruhannya – melepasi sasaran 27 pingat. Dengan dibarisi 289 atlet, kontinjen Malaysia berjaya membawa pulang enam pingat emas, lapan perak dan 18 gangsa.

Tahniah dan syabas diucapkan atas komitmen dan semangat juang kalian semua dalam menghadiahkan pingat buat Malaysia! Kejayaan yang dilakar di bumi Hangzhou itu pastinya menjadi momen istimewa untuk dikenang.

Malah, Majlis Sukan Negara (MSN), Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Institut Sukan Negara (ISN) dan persatuan sukan kebangsaan yang terlibat mampu menarik nafas lega atas keputusan di pentas Sukan Asia Hangzhou 2022.

Artikel Berkaitan:

Setiap pemegang taruh terlibat juga pasti tersenyum apabila prestasi di Hangzhou mampu menutup tanggapan pengkritik yang sebelum ini menyifatkan sasaran tanpa pingat emas umpama pergi bercuti atau bersifat selamat.

Setidak-tidaknya mereka tidak lagi dikecam seperti mana episod hitam Sukan SEA Kemboja Mei lalu. Edisi ke-32 itu menyaksikan kontinjen Malaysia gagal mencapai sasaran 40 emas.

Mungkin sudah belajar daripada kesilapan lalu, buat pertama kali dalam sejarah, kontinjen Malaysia tidak meletakkan sasaran pingat secara khusus – bermula dengan penampilan pada Sukan Asia Hangzhou 2022.

Formula itu dianggap berjaya. Apa tidaknya, sasaran tanpa meletakkan warna pingat dikatakan berjaya meredakan atau mengurangkan tekanan kepada barisan atlet negara.

Persoalannya, adakah pencapaian di Hangzhou sesuatu yang harus dibanggakan. Mungkin ada pihak beranggapan tidak adil jika kita tidak ‘memuji’ atas kejayaan kontinjen Malaysia mencapai, malah melepasi sasaran pingat.

Tetapi adakah kita juga perlu berlaku adil kepada atlet atau mana-mana pasukan yang dianggap gagal. Gagal dalam erti kata lain, tidak mencapai keputusan ditetapkan atau beraksi pada tahap kemampuannya sebenar.

Atas kertas, Malaysia menduduki tangga ke-14 daripada 45 buah negara yang bertanding pada temasya Sukan Asia kali ini. Secara lahiriahnya, ia satu pencapaian yang memuaskan melihatkan kepada data dan angka sedia ada.

Jaguh equestrian, Qabil Ambak muncul antara pemenang pingat emas kontinjen Malaysia pada Sukan Asia Hangzhou 2022.
Jaguh equestrian, Qabil Ambak muncul antara pemenang pingat emas kontinjen Malaysia pada Sukan Asia Hangzhou 2022.

Dari segi perbandingan dengan negara Asia Tenggara, Malaysia berada di belakang Thailand yang menghuni tangga kelapan (12 emas, 14 perak dan 32 gangsa), manakala Indonesia di tangga ke-13 (tujuh emas, 11 perak dan 18 gangsa).Berdasarkan data Seasia Stats di laman sosial Facebooknya baru-baru ini, Malaysia merupakan kontinjen ‘paling impresif’ apabila merekodkan ratio 2.07 dengan kejayaan meraih enam emas bersandarkan jumlah 289 atlet.

Indonesia di tangga kedua dengan ratio 1.69 hasil tujuh pingat emas berbekalkan penampilan 414 atlet, manakala Thailand di tempat ketiga – ratio 1.28 biarpun menuai 12 emas selepas menghantar seramai 934 atlet.

Apa sekalipun, itu sudut positif yang sudah terpahat dalam sejarah kontinjen Malaysia di bumi Hangzhou. Jangan dilupa dalam manis ada pahitnya, begitu juga dalam pahit ada manisnya.

Sukan Asia Hangzhou 2022 sudah cukup menjadi penanda aras prestasi anda semua khususnya mereka yang berada dalam program Road to Gold untuk memburu pingat emas sulung Sukan Olimpik.

Jadi sudah sampai masanya Jawatankuasa RTG berani dan paling penting, telus dalam membuat keputusan terhadap ‘masa depan’ atlet yang berada di bawah program RTG.

Daripada senarai asal seramai 15 atlet, Jawatankuasa RTG telah membawa masuk skuad hoki lelaki negara selepas memenuhi syarat menghuni ranking 10 terbaik dunia.

Tetapi atas prestasi pada Sukan Asia Hangzhou 2022, Jawatankuasa RTG harus solid dengan pendirian mereka, sama ada mahu mengekalkan atau menggugurkan atlet terbabit.

Jawatankuasa RTG itu juga harus realistik dalam membuat keputusan kerana sudah jelas ada atlet yang gagal menyerlah. Dalam hal ini, diharapkan tidak ada sentimen ‘pilih kasih’.

Harus diingat, RTG adalah program memburu pingat emas Olimpik dan bukannya meramaikan atlet. Sebaik-baiknya, Jawatankuasa RTG ‘menapis’ atlet yang dianggap prospek terbaik dalam menjelmakan kilauan emas Olimpik buat kontinjen Malaysia.