Warga emas maut jatuh tingkat 13 kuarters kerajaan

Anggota polis menutup mayat mangsa. - Foto PDRM
Anggota polis menutup mayat mangsa. - Foto PDRM
A
A
A

PUTRAJAYA - Seorang wanita warga emas ditemukan maut dipercayai terjatuh dari tingkat 13 rumahnya di sebuah kuarters kerajaan Presint 11 awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan berkata, mangsa yang berusia 68 tahun ditemui dalam keadaan tertiarap oleh pengawal keselamatan semasa membuat rondaan pada jam 5.45 pagi tadi.

Menurutnya, pegawai bersama pasukan bahagian siasatan jenayah ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.40 pagi dan menemubual anak lelaki mangsa berusia 41 tahun.

"Lelaki itu memberitahu kali terakhir dia berbual dengan ibunya pada jam 8.30 malam tadi dan mangsa dikatakan dalam keadaan baik, tidak menghidap sebarang penyakit mental serta tidak mempunyai hutang atau masalah dengan mana-mana orang.

“Hubungan mangsa dan anaknya sangat rapat memandangkan lelaki terbabit anak tunggalnya serta bekerja sebagai pembantu tadbir di sebuah kementerian. Wanita itu tinggal berdua dengan anaknya,” katanya satu dalam kenyataan hari ini.

Rosly berkata, anak mangsa tidak menyedari ibunya tiada di rumah sehingga jirannya mengetuk pintu untuk membuat semakan.

“Selepas mendapati ibunya tiada di rumah, anak mangsa pergi ke tingkat bawah dan membuat pengecaman,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, hasil temubual dengan jiran mangsa, mereka memaklumkan ada terdengar bunyi benda jatuh yang kuat sekitar jam 3 atau 4 pagi tadi.

Artikel Berkaitan:

Katanya, jiran di kawasan tersebut juga tidak mendengar sebarang bunyi pertengkaran sebelum kejadian berlaku.

Dalam pada itu, Rosly berkata, pasukan forensik tiba di lokasi dan mengesahkan tiada unsur jenayah berhubung kejadian berkenaan.

“Mangsa patah bahu kiri dan kanan, lebam pada lengan kanan, luka di muka dan kepala.

“Mayat dihantar ke Hospital Putrajaya. Punca sebenar kejadian belum dapat dipastikan lagi,” katanya.