'Aulia tersenyum memandang ke atas, petanda akan pergi selamanya'

Antara kenangan yang dirakam oleh Faizul bersama isteri dan anak sulung mereka bersama Qaseh Aulia baru-baru ini.
Antara kenangan yang dirakam oleh Faizul bersama isteri dan anak sulung mereka bersama Qaseh Aulia baru-baru ini.
A
A
A

PETALING JAYA - "Aulia kelihatan tersenyum sambil matanya memandang ke atas seperti ada yang mengacahnya ketika isteri saya dalam perjalanan menghantarnya ke taska."

Demikian cerita Faizul Ali Adam, 33, bapa kepada Qaseh Aulia yang meninggal dunia di sebuah taska di Petaling Jaya selepas didakwa mengalami sesak nafas, Selasa lalu.

Faizil berkata, perubahan bayi perempuan berumur dua bulan itu disedari isterinya Maisarah Rosli, 33, dan tidak disangka merupakan petanda terakhir anak keduanya itu akan meninggalkan mereka berdua buat selamanya.

"Kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 7.30 pagi, Selasa lalu, ketika isteri saya dalam perjalanan untuk menghantar Aulia ke taska, dia kelihatan tersenyum seperti ada yang bergurau dengannya.

"Beberapa hari sebelum itu, Aulia menunjukkan reaksi tidak selesa dan seolah-olah tak mahu ke taska tersebut, namun kami tidak mengesyaki apa-apa memandangkan anak sulung saya pun pernah saya hantar ke situ sebelum ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Katanya, lebih mengecewakan adalah melihat keadaan anaknya yang dibiarkan dalam keadaan tertiarap menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) taska berkenaan.

"Perasaan marah saya membuak apabila melihat keadaan anak saya ditinggalkan tanpa pengawasan pengasuh terbabit, bila dia tengok anak saya dalam keadaan sedemikian dia langsung tak lakukan apa-apa pertolongan cemas.

"Saya dimaklumkan sebelum ini oleh pemilik taska bahawa kakitangannya adalah terlatih, tapi bila lihat rakaman CCTV jelas sekali, ia sebaliknya, itu yang buatkan saya benar-benar kecewa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menceritakan berkaitan kejadian, Faizul berkata, isterinya yang baru habis berpantang Isnin lalu menghantar Aulia ke taska kira-kira jam 7.30 pagi, 10 Oktober lalu.

"Pengasuh kemudiannya menghubungi saya mengatakan Aulia dalam keadaan meniarap dengan wajah kebiruan kira-kira jam 11.17 pagi.

"Dia memaklumkan hendak menghantar Aulia ke klinik berhampiran sebelum saya meminta dia menghantarnya ke hospital swasta berhampiran.

"Sebaik tiba di hospital berkenaan, saya dimaklumkan oleh doktor bahawa Aulia sudah meninggal dunia," katanya.

Menurutnya, isterinya dalam keadaan tertekan disebabkan kejadian yang berlaku ini.

"Memang pihak taska dan pengasuh ada memohon maaf atas apa yang berlaku namun jujur saya katakan, ini melibatkan soal nyawa yang tiada gantinya.

"Saya berhasrat untuk mengambil tindakan saman terhadap pemilik taska kerana ada banyak kesalahan yang dilakukan dan pada masa sama saya dan isteri tidak mahu perkara sama yang mana melibatkan sebarang kecuaian berlaku kepada orang lain," katanya.

Jelas Faizul, dia dan isterinya berharap agar siasatan segera dijalankan pihak berkuasa berkaitan kejadian tersebut.

"Kami reda dengan apa yang berlaku namun masa sama kami berharap agar keadilan terbaik buat anak kami.

"Baru dua bulan kami berdua sempat bermanja dengannya, kami tidak sanggup menghadapinya angkara kesilapan atau kecuaian pihak lain. Kini, senyuman Aulia sekadar menjadi memori buat kami," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, siasatan lanjut berkaitan kejadian masih dijalankan.

"Polis masih menunggu laporan lengkap daripada pihak patologi berkaitan punca kematian mangsa.

"Setakat ini siasatan lanjut berkaitan kes ini masih dijalankan," katanya.

Pada Sabtu, media melaporkan bayi berkenaan maut dipercayai ketika berada di bawah jagaan pengasuh di sebuah taska.

Difahamkan, kejadian itu menimpa Qaseh Aulia Faizul, pada hari kedua dia dihantar ke taska berkenaan.