Polis tahan lelaki ugut, cedera mangsa guna senjata

Polis menahan seorang lelaki berhubung kes ugutan jenayah dan sengaja mendatangkan cedera menggunakan senjata kepada seorang mangsa di sebuah ladang kelapa sawit di Bestari Jaya di Kuala Selangor pada 6 Oktober lalu. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Ramli)
Polis menahan seorang lelaki berhubung kes ugutan jenayah dan sengaja mendatangkan cedera menggunakan senjata kepada seorang mangsa di sebuah ladang kelapa sawit di Bestari Jaya di Kuala Selangor pada 6 Oktober lalu. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Ramli)
A
A
A

KUALA SELANGOR - Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes ugutan jenayah dan sengaja mendatangkan cedera menggunakan senjata kepada seorang mangsa di sebuah ladang kelapa sawit di Bestari Jaya di sini pada 6 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Ramli Kasa berkata, suspek berusia 42 tahun ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor kira-kira jam 5.45 petang, 9 Oktober lalu.

Menurutnya, kejadian berpunca semasa beberapa peneroka kebun sawit berbincang dengan pengusaha syarikat mengenai kerja mengorek pasir di kawasan ladang berkenaan.

"Semasa perbincangan tersebut, salah seorang pengusaha mengorek pasir dikatakan mengeluarkan ugutan jenayah dan sengaja mendatangkan cedera kepada salah seorang pengusaha kebun berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sehubungan itu, katanya, mangsa berusia 23 tahun kemudiannya membuat laporan polis selepas diugut dan dicederakan suspek.

Jelas beliau, polis telah melengkapkan siasatan dan suspek dibebaskan dengan jaminan polis.

"Polis klasifikasikan laporan tersebut di bawah Seksyen 324/506 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mendatangkan cedera dengan senjata dan ugutan jenayah," tambah beliau.

Sebelum ini, tular video di media sosial memaparkan pertengkaran berlaku antara dua kumpulan di kawasan ladang kelapa sawit di Bestari Jaya di sini pada Jumaat.

Artikel Berkaitan: