Lelaki ditahan tembak tiga ekor anjing liar

Tangkap layar video tular membabitkan seorang lelaki menembak tiga ekor anjing liar.
Tangkap layar video tular membabitkan seorang lelaki menembak tiga ekor anjing liar.
A
A
A

NILAI - Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai menembak tiga ekor anjing liar kerana berang haiwan tersebut cuba menggigit anak dan memakan haiwan peliharaannya.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malek Hasim berkata, polis telah menerima maklumat berhubung perkara itu pada Khamis susulan aduan dibuat oleh seorang lelaki berusia 25 tahun.

"Pengadu menyatakan pada jam 5.42 petang semasa memancing berhampiran sebuah kilang pasir di Pantai Batu 9, Kampung Golai, Pantai telah mendengar bunyi empat das tembakan dari arah belakang.

"Pengadu kemudian mendapati tiga ekor anjing telah ditembak oleh suspek menggunakan senapang patah," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, dua ekor daripada anjing tersebut telah mati manakala seekor lagi cedera dan telah lari dari kawasan tersebut.

Ujarnya, suspek berusia 40 tahun telah ditahan pada hari sama jam 9.15 malam dan polis turut merampas selaras senapang patah bersama sembilan butir peluru serta lima butir kelongsong peluru di sekitar kawasan Pantai dan Sikamat.

"Siasatan mendapati senapang patah yang digunakan adalah milik saudara suspek.

"Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 30(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan permohonan reman ke atasnya telah dibuat di Mahkamah Majistret Seremban dan diluluskan selama dua hari sehingga Sabtu.

Sehubungan itu katanya, orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Sementara itu video kejadian itu turut tular di laman sosial dan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyelar tindakan tersebut yang disifatkan kejam dan tidak berperikemanusiaan.