Perak FC sambung kontrak Yusri

Yusri Che Lah - Foto Agensi
Yusri Che Lah - Foto Agensi
A
A
A

PERAK FC menyambung kontrak ketua jurulatih, Yusri Che Lah untuk dua musim lagi, selepas berpuas hati dengan prestasi membimbing pasukan dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia musim ini.

Pengendali kelahiran Perlis yang mengambil alih jawatan sebagai ketua jurulatih daripada Datuk Lim Teong Kim pada Mei lepas, mengemudi skuad Perak FC mara sehingga peringkat separuh akhir Piala Malaysia 2023.

Ketika dihubungi Bernama, Yusri, 47, berkata, beliau teruja untuk meneruskan tugas bersama The Bos Gaurus.

"Saya bersyukur kerana diberi kepercayaan oleh pengurusan Perak FC untuk terus berada dalam skuad Perak bagi menghadapi baki saingan musim ini dan musim seterusnya.

"Kepercayaan ini akan saya galas dengan sebaik mungkin dan berharap dapat melakukan yang terbaik dan sudah tentu saya akan berusaha untuk perbaiki kedudukan pasukan khususnya dalam saingan Liga Super," katanya.

Semalam, Yusri memperbaharui kontrak bersama pasukan Perak FC dalam satu majlis ringkas bersama Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Bobie Farid Shamsudin.

Perak FC turut melanjutkan kontrak ketua jurulatih bawah 23 tahun (B-23) dan bawah 20 tahun (B-20) masing-masing, Chan Wing Hoong dan Shahril Nizam Khalil.

Sementara itu, mengenai aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Perak pada 19 Okt ini, Yusri berharap barisan pemain dapat mempamerkan prestasi terbaik mereka.

Artikel Berkaitan:

"Kita semua sedia maklum mengenai kekuatan JDT, namun tidak mustahil untuk kita mencipta kejutan. Saya mahu mereka (pemain) memberikan persembahan terbaik dan anggap setiap perlawanan itu adalah penting.

"(Malah), saya percaya kehadiran penyokong pada perlawanan itu juga penting untuk memberi motivasi kepada pemain,” katanya. - Bernama