SK Titom lokasi pertama terima perkhidmatan internet Starlink

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Sekolah Kebangsaan (SK) Titom, Lipis menjadi lokasi pertama di Pahang menerima kemudahan perkhidmatan internet Starlink selepas dipilih oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkhidmatan internet Starlink ini menggunakan teknologi satelit orbit rendah dengan menawarkan kelajuan internet yang lebih laju dan stabil.

"Pemasangan ini telah dilaksanakan SKMM pada Selasa lalu, selepas sesi tinjauan dan penilaian kesesuaian lokasi dijalankan termasuklah ujian kelajuan internet yang mencatatkan kelajuan antara 80Mbps ke 100Mbps dengan kawasan liputan dalam lingkungan radius 100 meter.

"Dengan pemasangan ini, perkhidmatan internet yang disediakan akan memberi manfaat kepada lebih 400 orang pengguna, bukan hanya pelajar tetapi juga penduduk berhampiran yang terdiri daripada masyarakat Orang Asli di Pos Titom," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

SKMM memilih SK Titom sebagai lokasi pertama di Pahang menerima kemudahan perkhidmatan internet Starlink. - Foto FB Wan Rosdy
SKMM memilih SK Titom sebagai lokasi pertama di Pahang menerima kemudahan perkhidmatan internet Starlink. - Foto FB Wan Rosdy

Beliau berkata, perkhidmatan Starlink ini adalah satu usaha jangka pendek secara Proof of Concept (POC) bagi penyediaan internet di kawasan terbabit sementara pelaksanaan projek menara baharu di bawah Jalinan Digital Negara (Jendela) dilaksanakan di Pos Titom.

Wan Rosdy turut memaklumkan ketika ini, menara terbabit sedang diperingkat awal pembinaan.

"Ia dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada pertengahan 2024 dengan perkhidmatan 4G dapat ditawarkan kepada masyarakat Pos Titom dan sekitarnya.

Artikel Berkaitan:

"Saya berharap dengan perkhidmatan internet Starlink ini, ia dapat membantu meluaskan lagi liputan internet terutamanya di kawasan pedalaman agar lebih ramai rakyat di negeri ini dapat menggunakan perkhidmatan talian komunikasi yang semakin penting pada masa kini," katanya.