Terima kasih TMJ

Matthew Davies
Matthew Davies
A
A
A

PEMAIN Harimau Malaya mengucapkan terima kasih kepada Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang membolehkan skuad negara beraksi atas padang baharu di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Pestabola Merdeka.

Pertahanan Harimau Malaya, Matthew Davies berkata, semua pemain negara teruja untuk beraksi dan berjanji akan menjelmakan persembahan terbaik ketika berdepan India pada Jumaat.

"Kami sangat bangga dan gembira untuk kembali bermain di Stadium Nasional di hadapan penyokong sendiri.

"Terima kasih kepada TMJ kerana inisiatif beliau menukar padang baharu buat kami dan kami akan memberikan persembahan menarik kepada semua penyokong," katanya pada sidang media pra perlawanan hari ini.

Padang baharu Stadium Nasional yang menggunakan rumput Zeon Zoysia itu telah dirasmikan oleh Tunku Ismail dan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pada Khamis.

Sebelum ini, Tunku Ismail menjadi watak penting mencadangkan penukaran tersebut selain menaja kos penanaman rumput itu.

Dalam pada itu, Davies berkata, Harimau Malaya akan menghormati pasukan India kerana mereka berada di ranking yang lebih tinggi.

Namun, ia tidak bermakna Malaysia tidak akan memberikan tentangan dalam usaha memastikan pasukan negara mampu mara ke final kejohanan itu.

Artikel Berkaitan:

"Kami tidak tahu banyak mengenai pasukan India, tetapi Kim dan barisan kejurulatihan telah buat kerja yang bagus menganalisis mereka.

"Sama seperti yang jurulatih katakan bahawa India bermain secara agresif dan pantas, jadi ia akan menjadi perlawanan yang sukar," katanya.