Polis jamin siasatan telus kes pukul OKT

Laporan Sinar Harian pada Rabu.
Laporan Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

GEORGE TOWN - Polis memberi jaminan akan menjalankan siasatan yang adil tanpa melindungi mana-mana pihak berhubung kes orang kena tahan (OKT) yang dipukul dalam tahanan seperti video tular di media sosial pada Rabu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya kini sedang melengkapkan siasatan dan akan dirujuk kepada pihak Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

"Kita akan lebih telus, lebih komitmen dan lebih kompiten serta adil dalam menyiasat perkara ini. Itu adalah hasrat saya dan telah sampaikan kepada Ketua Polis Selangor berhubung perkara ini.

"Jadi perkembangan kes ini kita akan tahu selepas kertas siasatan lengkap dan kita akan hantar kepada peguam negara untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika ditemui media selepas menghadiri sambutan peringatan hari pasukan Polis Marin ke-76 di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah 1, di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai insiden pukul OKT dalam tahanan polis yang dilaporkan berlaku di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Selangor.

Sebelum ini, rakaman video berkenaan tular berkaitan dakwaan seorang individu dipukul ketika ditahan beberapa anggota polis.

Dikatakan kejadian dilaporkan berlaku di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Klang Selatan kira-kira jam 10.30 pagi, 2 Ogos 2022.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong sebelum ini berkata, OKT ditangkap atas kesalahan dadah dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel Berkaitan:

Katanya, lelaki itu juga telah dituduh di Mahkamah Klang pada 8 Ogos 2022 di bawah seksyen yang sama.