Guru rugi RM190,000 terpedaya 'wakil syarikat penghantaran'

Foto hiasan123RF
Foto hiasan123RF
A
A
A

KUANTAN - Seorang guru di Bentong kerugian RM190,000 selepas dipercayai terpedaya dengan sindiket panggilan 'scam'.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata, wanita berusia 36 tahun itu dikatakan menerima panggilan telefon daripada suspek yang menyamar sebagai wakil syarikat penghantaran barang pada 9 Ogos lalu.

Menurutnya, panggilan itu kemudian disambungkan kepada polis yang mendakwa mangsa terbabit dengan kes jenayah pengubahan wang haram.

"Mangsa seterusnya memasukkan wang berjumlah RM20,000 ke dalam akaun bank yang diberikan oleh suspek untuk tujuan penyelesaian kes.

"Suspek turut meminta mangsa memberikan gambar kad mesin juruwang automatik (ATM) dan nombor kod pengesahan transaksi (TAC)," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Yahaya berkata, mangsa mula mengesyaki ditipu selepas mendapati wang berjumlah RM170,000 daripada akaun miliknya dipindahkan ke akaun lain.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, Yahaya menasihati orang ramai yang menerima panggilan yang meragukan untuk segera membuat semakan dengan polis atau agensi kerajaan yang berkenaan untuk mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga meminta agar tidak memberikan maklumat perbankan kepada mana- mana pihak yang tidak dikenali.

"Jangan mudah percaya dan mendedahkan sebarang maklumat. Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi," katanya.