KPLB terima 80,319 permohonan pelajar Tingkatan Satu ke MRSM

Datuk Seri Rina Mohd Harun
Datuk Seri Rina Mohd Harun
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerima sebanyak 80,319 permohonan pelajar Tingkatan Satu ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bagi sesi kemasukan tahun 2020.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, permohonan kemasukan itu menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu yang hanya mencatatkan jumlah seramai 75,000 pelajar.

Beliau bagaimanapun berkata, jumlah kuota yang ditawarkan masih tidak berubah dengan kekosongan 7,628 sahaja.

“Setakat ini, kira-kira 300 pelajar sahaja menolak tawaran dan (jumlah) ini tidak termasuk rayuan yang belum diteliti lagi dan nampaknya maklum balas begitu baik walaupun tarikh tutup permohonannya adalah pada 30 November lalu.

“Bagaimanapun, kita berjaya mengumumkan kemasukan pelajar MRSM dalam tempoh dua minggu sahaja kerana kita mahu memberi peluang kepada ibu bapa dan penjaga membuat persiapan awal untuk 2020,” katanya selepas Majlis Pasar Sentuhan Sri Kandi di Kampung Bukit Sungai Bersih, Lembah Jaya hari ini.

Rina berkata, untuk pengambilan pelajar Tingkatan Empat di MRSM, sebanyak 20,000 permohonan telah diterima untuk kekosongan bagi 4,000 tempat yang disediakan dan keputusannya akan diumumkan dalam sedikit masa lagi.

Menurutnya, MRSM sentiasa mengutamakan pengambilan 60 peratus pelajar golongan B40 untuk memastikan persaingan lebih sihat.

Artikel Berkaitan: