Maritim Malaysia rampas 160 set bubu naga

Anggota Maritim Malaysia merampas bubu naga dalam empat siri rampasan sekitar perairan Tanjung Dawai hingga ke perairan Kuala Kedah.
Anggota Maritim Malaysia merampas bubu naga dalam empat siri rampasan sekitar perairan Tanjung Dawai hingga ke perairan Kuala Kedah.
A
A
A

KUALA KEDAH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah merampas 160 set bubu naga dalam empat siri rampasan sepanjang minggu ini di beberapa lokasi di perairan Tanjung Dawai hingga ke perairan Kuala Kedah.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, operasi terbabit dilaksanakan berdasarkan aduan awam dan pemeriksaan semasa rondaan di lokasi berkenaan.

"Semasa rondaan dilakukan, anggota bot ronda Maritim Malaysia telah menemukan pelbagai taktik bagi mengaburi mata pihak berkuasa termasuklah lokasi semasa pemasangan bubu diubah.

"Selain itu, pelampung penanda, pancang kayu dan beberapa alatan GPS yang mencurigakan didapati diletakkan pada setiap bubu naga berukuran kira-kira 10 meter panjang itu," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan, pihaknya merampas 160 set bubu naga yang dianggarkan bernilai hampir RM20,000.

Menurut Noor Azreyanti, kesemua barangan rampasan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985.

"Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dan sentiasa komited dalam meneruskan pengoperasian serta rondaan di sepanjang Zon Maritim Malaysia bagi mengekang aktiviti haram di perairan negara," katanya.

Orang ramai diminta melaporkan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut melalui saluran talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

Artikel Berkaitan: