Warga emas rugi RM 376,300 diperdaya sindiket Love Scam

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Akibat teruja untuk menerima hadiah istimewa, seorang peniaga wanita berputih mata apabila kerugian RM376,300 selepas terpedaya dengan kata-kata manis rakan lelaki yang dikenali di Facebook sejak Mac lalu.

Menurut sumber, kejadian bermula pada awal Mac lalu apabila mangsa yang berusia 64 tahun dan tinggal di Kuala Terengganu mengenali lelaki berkenaan di media sosial itu.

Katanya, suspek memperkenalkan diri kononnya berasal dari negara ini tetapi dibawa dan dibesarkan di Scotland oleh keluarganya.

"Selepas sebulan berkenalan, mangsa menerima mesej daripada suspek yang berusia 50-an bahawa dia ingin memberikan hadiah istimewa iaitu barang berharga dan wang tunai sebagai tanda perkenalan mereka.

"Beberapa hari kemudian, suspek ada menghubungi mangsa memaklumkan yang hadiah tersebut ditahan Kastam kerana pemeriksaan mendapati terdapat wang tunai dalam jumlah yang banyak.

"Suspek seterusnya meminta mangsa membuat pembayaran jika mahu menebus hadiah berkenaan sebelum memberi nombor akaun lima bank berbeza," katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelas sumber lagi, tanpa berfikir panjang mangsa terus bersetuju untuk membuat bayaran seperti diarahkan.

"Mangsa melakukan 41 transaksi secara tunai deposit dan dalam talian berjumlah RM376,300 namun suspek masih tidak berpuas hati dan mengarahkan mangsa menambah bayaran dengan memberi pelbagai alasan.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa curiga kerana menyedari lelaki itu mula bercakap tidak jujur dan menyedari dirinya sudah tertipu sebelum mengambil keputusan membuat laporan polis kelmarin," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Deputi Superintendan Hamdan Zali ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.