Dewan Rakyat lulus RUU Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2023

Nik Nazmi ketika pembentangan RUU Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2023 di Dewan Rakyat pada Selasa. - Foto Bernama
Nik Nazmi ketika pembentangan RUU Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2023 di Dewan Rakyat pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rang undang-undang (RUU) bagi menggubal akta mengawal selia penggunaan cekap tenaga dan konservasi tenaga diluluskan persidangan Dewan Rakyat pada Selasa.

Rang Undang-Undang Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2023 itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju semasa persidangan dipengerusikan Timbalan Yang Dipertua Alice Lau Kiong Yieng dengan 13 ahli Parlimen mengambil bahagian dalam sesi perbahasan.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, rang undang-undang berkenaan berkait rapat dengan inisiatif peralihan tenaga ke arah mencapai aspirasi pelepasan gas rumah kaca (GHG) bersih sifar menjelang 2050 oleh sektor berkaitan tenaga.

"Rang undang-undang ini juga merupakan satu inisiatif utama di bawah Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR)," katanya ketika membentangkan rang undang-undang itu bagi bacaan kali kedua.

Beliau berkata, melalui RUU itu, kerajaan akan turut memberikan penekanan dari aspek pengurusan permintaan tenaga khususnya penggunaan tenaga dengan cekap dan berkesan.

"Pendekatan ini membolehkan kerajaan membuat perancangan pembekalan dan penjanaan dengan lebih holistik, di samping menyumbang kepada agenda perubahan iklim negara," katanya.

Nik Nazmi berkata, melalui penguatkuasaan RUU itu ke atas sektor industri, komersial dan domestik (kediaman) hingga 2050, kerajaan dijangka menjimatkan penggunaan tenaga dianggarkan berjumlah 2,017 juta gigajoule atau bersamaan RM97.1 bilion dan mengurangkan pelepasan karbon.

Menurutnya Rang Undang-Undang Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2023 juga akan mewujudkan 1,000 peluang pekerjaan baharu sebagai pengurus tenaga berdaftar dan juruaudit tenaga berdaftar iaitu tambahan kepada pengurus tenaga sedia ada.

Artikel Berkaitan:

"Di samping itu, dianggarkan sebanyak 500 juruaudit tenaga baharu diperlukan setelah rang undang-undang ini dikuatkuasakan berbanding 253 juruaudit tenaga sedia ada," katanya.

Menurut beliau, RUU itu juga akan menggalakkan pewujudan institusi latihan dan kemahiran serta syarikat perkhidmatan tenaga untuk melatih lebih ramai pengurus tenaga dan juruaudit tenaga yang diperlukan oleh sektor industri dan komersial.

Terdahulu, Dewan Rakyat turut meluluskan Rang Undang-Undang Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2023 yang bertujuan meminda Akta Kesatuan Sekerja 1959 (Akta 262) dengan sesi perbahasannya disertai 14 ahli Parlimen.

Objektif utama RUU itu adalah untuk meniadakan sekatan ke atas pembentukan kesatuan sekerja berdasarkan penubuhan tertentu atau persamaan dalam tred, pekerjaan atau industri, selain untuk membenarkan kepelbagaian kesatuan sekerja dalam mana-mana penubuhan, tred, pekerjaan atau industri.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar ketika membentangkan pindaan tersebut berkata, ia adalah selaras dengan prinsip kebebasan berpersatuan dengan pekerja dan majikan adalah bebas menubuhkan atau menyertai mana-mana kesatuan sekerja pilihan mereka sendiri.

"Pindaan Akta 262 ini juga bagi mewujudkan kerangka perundangan yang menyokong penubuhan dan pentadbiran kesatuan sekerja yang matang, progresif dan relevan selain memastikan kualiti perlindungan hak pekerja di Malaysia dengan mengambil kira prinsip yang digariskan di bawah standard perburuhan antarabangsa.

"Di samping itu, rang undang-undang ini juga bertujuan memudah cara Malaysia dalam merundingkan perjanjian perdagangan yang pada ketika ini telah memasukkan artikel berhubung obligasi kepada standard perburuhan antarabangsa sebagai satu daripada terma perjanjian,” katanya.

Persidangan bersambung esok. - Bernama