Sidang Kemuncak KL buahkan hasil ketara: Tun M

Dr Mahathir ketika sidang media pada Majlis Penutupan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. - Foto: Bernama
Dr Mahathir ketika sidang media pada Majlis Penutupan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penganjuran Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (Sidang Kemuncak KL) 2019 membuahkan hasil ketara yang digariskan dalam usaha membawa kemajuan dan memperbaiki keadaan ummah.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sidang kemuncak itu menyaksikan 18 pertukaran instrumen dalam pelbagai bidang termasuk teknologi tinggi canggih, kolaborasi media, pusat kecemerlangan, jaminan makanan dan kepimpinan belia serta pertukaran program.

“Ada beberapa lagi yang sedang dirangka, sedang diusahakan hasil perbincangan semasa sidang kemuncak ini,” katanya semasa berucap di majlis penutupan sidang kemuncak empat hari itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Sidang Kemuncak KL berkata, diharapkan saudara-saudara Islam yang lain akan dapat melihat bahawa hasrat Sidang Kemuncak ini adalah untuk menyatukan ummah di bidang teknologi maju dan strategik.

“Hanya dengan memiliki pengetahuan inilah satu-satunya harapan kita bagi menghentikan perbuatan buli dan penindasan oleh musuh-musuh kita terhadap ummah.

“Kita mengakui bahawa seluruh umat Islam adalah saudara kita dan langkah kecil yang kita ambil ini akan menjadi permulaan kepada satu perjalanan yang jauh dan bermanfaat dengan seluruh ummah," kata Dr Mahathir yang juga pengerusi Sidang Kemuncak KL.

Dr Mahathir berkata, aspek paling penting merujuk kepada sidang kemuncak iaitu ekonomi, sains dan teknologi, di samping industri pertahanan adalah perlunya memiliki keupayaan untuk menghasilkan dan mencipta teknologi tempatan yang baharu.

“Selagi kita bergantung kepada teknologi ciptaan musuh Islam, selamanya mereka akan peroleh manfaat dan menguasai serta mengawal usaha-usaha kita untuk memperbaiki teknologi kita dan sistem pertahanan khususnya.

Artikel Berkaitan:

Dr Mahathir berkata, perbincangan turut menyentuh mengenai isu mata wang dan cara perdagangan sesama negara-negara Islam, di mana beliau mencadangkan supaya dikaji semula idea perdagangan dengan menggunakan dinar emas dan sistem barter.

Beliau berkata, penting juga bagi beliau untuk menyatakan bahawa Iran khususnya, walaupun bertahun-tahun berdepan perintah sekatan, mampu terus maju dan berkembang dengan mempunyai jumlah jurutera keempat tertinggi di dunia.

Pemimpin Malaysia itu berkata, Qatar juga telah dikenakan sekatan dan seperti Iran, turut berjaya bangkit dan berkembang maju dengan hebat.

"Bagaimanapun, sekatan sedemikian tidak semata-mata merujuk kepada Iran dan Qatar sahaja. Semasa dunia menyaksikan negara-negara membuat keputusan unilateral bagi mengenakan langkah-langkah berbentuk menghukum seperti itu, Malaysia dan negara-negara lain harus selalu ingat bahawa ia juga boleh dikenakan ke atas mana-mana daripada kita, " katanya.

Dr Mahathir berkata, atas alasan inilah negara-negara Islam perlu berdikari dan berusaha dengan negara-negara Islam lain untuk memastikan bahawa jika langkah-langkah seperti itu dikenakan kepada mereka atau apabila dikenakan, mereka mampu menghadapinya.

Dr Mahathir turut menyentuh berhubung kebimbangan umat Islam di negara bukan Islam dipaksa menjalani asimilasi dengan berkata, “Kita menyokong integrasi tetapi asimilasi sehingga ke tahap meninggalkan agama kita, ia tidak boleh diterima,”

Beliau berkata, sidang kemuncak ini menegaskan bahawa sekiranya negara-negara Islam benar-benar bebas dan berupaya untuk berdikari, mereka pastinya tidak mendapat layanan sedemikian.

Merujuk kepada 1.8 bilion populasi umat Islam, beliau berkata, mereka membentuk satu perempat daripada jumlah umat manusia, namun kelompok yang mewakili mereka dalam semua bidang di platform global dilihat masih kurang.

Dr Mahathir juga ada beberapa mesej buat mereka yang berpandangan negatif terhadap Sidang Kemuncak KL.

“Kita bukan berhimpun di sini untuk mengambil alih mana-mana platform Islam yang lain, kita juga tidak berhasrat mewujudkan kategori atau kelas yang berbeza antara negara Islam dan kita juga tidak berhasrat untuk melemahkan yang lain,” katanya.

“Ia adalah satu jemaah terdiri daripada beberapa negara Islam di mana beberapa pemimpinnya berhasrat untuk bersama membincangkan bidang tertentu yang boleh mereka bangunkan secara bersama dengan hasrat yang pertama adalah membawa manfaat kepada negara berkenaan dan kemudiannya membawa ia ke platform lebih besar serta berkolaborasi untuk memberi manfaat kepada negara Islam secara keseluruhannya.

“Semasa ia tidak dapat menghilangkan rasa curiga dan bantahan yang dibangkitkan, kita sekali lagi ingin mengulangi bahawa sidang kemuncak ini bertumpu kepada objektif bagi mencari penyelesaian dan mewujudkan program-program yang kita percaya boleh membantu, sekali gus menyelamatkan ummah daripada penderitaan semasa. - Bernama