Dua beranak maut kemalangan

Kereta Proton Iswara yang terlibat kemalangan di Jalan Masjid di Pasir Gudang pagi tadi. - Foto ihsan Bomba
Kereta Proton Iswara yang terlibat kemalangan di Jalan Masjid di Pasir Gudang pagi tadi. - Foto ihsan Bomba
A
A
A

PASIR GUDANG - Dua beranak maut selepas kereta Proton Iswara dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Jalan Masjid di Pasir Gudang, kira- kira jam 9.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah berkata, Muhammad Eijaz Firdaus Mohd Izuan, 2, meninggal dunia di tempat kejadian manakala bapanya, Mohd Izuan Isahak, 33, beralamat di Felda Cahaya Baru Masai Johor meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital.

Menurutnya, kereta dinaiki mangsa dua beranak bersama seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan dari arah pusat bandar Pasir Gudang dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan.

"Pemandu sebuah lagi kenderaan iaitu Honda Civic yang dari arah Taman Scientex menghala ke pusat bandar Pasir Gudang tidak sempat mengelak menyebabkan dua kereta itu berlanggar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa di dalam kereta Proton Iswara yang terlibat kemalangan di Jalan Masjid Pasir Gudang pagi tadi.
Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa di dalam kereta Proton Iswara yang terlibat kemalangan di Jalan Masjid Pasir Gudang pagi tadi.

Menurut Ismail, akibat pelanggaran itu, penumpang Proton Iswara, Muhammad Eijaz Firdaus cedera parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu, Mohd Izuan yang juga pekerja swasta meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI).

Sementara bayi perempuan mengalami kecederaan di kepala turut dibawa ke HSI untuk rawatan susulan.

"Pemandu Honda Civic, seorang lelaki berusia 40 tahun cedera di kaki dan menerima rawatan di sebuah hospital swasta," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, tiada kamera litar tertutup di lokasi kejadian dan tiada saksi bebas yang hadir membuat laporan.

"Siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan II Zainudin Sabani berkata, seramai 11 anggota bersama sebuah jentera dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa.