Kronologi membawa kepada undian pemecatan Donald Trump

Donald Trump. - Foto AFP
Donald Trump. - Foto AFP
A
A
A

25 Julai (Trump-Zelensky berhubung melalui panggilan telefon)

>Trump berbual selama 30 minit bersama Presiden baharu Ukraine, Volodymyr Zelensky yang dilantik pada Mei lalu. Pada awal Julai, jutawan hartanah tersebut tanpa memberi penjelasan menyekat bantuan ketenteraan berjumlah ratusan juta dolar yang diluluskan Kongres.

12 Ogos (Pembocor maklumat failkan aduan)

>Seorang pembocor maklumat tanpa nama dalam komuniti risikan AS memfailkan aduan dalaman tentang panggilan telefon antara Trump-Zelensky dan menyifatkan ia sebagai 'kebimbangan terdesak'.

11 September (Ukraine terima bantuan)

>Rumah Putih memberikan bantuan ketenteraan kepada Ukraine

24 September (Siasatan dilancarkan)

>Demokrat di Dewan Perwakilan mengumumkan siasatan ke atas Trump berhubung dakwaan salah guna kuasa dilancarkan selepas beliau didakwa mendesak Zelensky supaya menyiasat pesaingnya dalam Pilihan Raya Presiden AS 2020, Joe Biden dan anak lelakinya, Hunter.

Artikel Berkaitan:

25 September (Transkrip didedah)

>Rumah Putih mengeluarkan transkrip kasar tentang panggilan Trump-Zelensky. Ia membuktikan Presiden terbabit beberapa kali meminta rakan sejawatannya di Ukraine supaya menyiasat Biden bersama peguam peribadinya, Rudy Giuliani dan Peguam Negara, Bill Barr.

26 September (Aduan pembocor maklumat didedah)

>Jawatankuasa Risikan Senat mendedahkan aduan pembocor maklumat yang mendakwa Trump menggunakan kuasa beliau untuk mendapatkan campur tangan asing dalam Pilihan Raya Presiden AS 2020. Ia juga mendakwa pegawai di Rumah Putih cuba untuk 'mengunci' akses kepada transkrip panggilan tersebut atas alasan bahan politik sensitif.

13-21 November (Pendengaran Awam)

>Jawatankuasa Risikan Senat memulakan pendengaran awam susulan keterangan saksi secara tertutup pada Oktober lalu. Mereka yang memberi keterangan yang turut disiarkan secara langsung menerusi TV termasuk bekas Duta AS ke Ukraine, William Taylor dan Marie Yovanovitch serta anggota Majlis Keselamatan Negara Rumah Putih, Leftenan Kolonel, Alexander Vindman.

Duta AS ke Kesatuan Eropah dan sekutu Trump, Gordon Sondland memberitahu, dia mengikut arahan Trump untuk mendapatkan perjanjian 'quid pro quo'.

3 Disember (Laporan didedah)

>Laporan setebal 300 muka surat berhubung siasatan ke atas Trump mendapati bukti luar biasa tentang salah laku dan tindakan beliau yang cuba menghalang siasatan Kongres.

10 Disember (Dua tuduhan)

>Jawatankuasa Kehakiman Senat mengumumkan dua artikel pemecatan terhadap Trump (salah guna kuasa dan menghalang Kongres) yang menegaskan Presiden menyalahgunakan kuasanya dan wajar dipecat.

18 Disember (Trump dipecat)

>Dewan Perwakilan AS sebulat suara memecat Trump kerana menyalahgunakan kuasa dan menghalang siasatan Senat. Beliau bakal dibicarakan di Senat untuk menentukan nasibnya selepas memegang jawatan di Rumah Putih selama tiga tahun. Undi 230-197 menjadikan Trump sebagai Presiden ketiga AS dalam sejarah yang akan dipecat. - AFP