Mangsa banjir di Pahang kembali meningkat

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Kapor, Mentakab yang dibuka pagi tadi terus mencatatkan peningkatan mangsa banjir yang dipindahkan kepada 217 orang daripada 66 keluarga sehingga jam 4 petang ini.

Bilangan mangsa yang dipindahkan meningkat berbanding 118 orang daripada 42 keluarga yang dilaporkan pada jam 12 tengah hari tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Penolong Pesiruhjaya (PA), Zainal Yusof berkata, satu lagi PPS dibuka di daerah Bera (Kompleks Rakan Muda) yang menempatkan sembilan mangsa daripada dua keluarga petang ini.

Menurutnya, bilangan mangsa banjir si negeri ini meningkat kepada 1,231 daripada 326 keluarga berbanding seramai 1,123 mangsa daripada 301 keluarga, tengah hari tadi.

"Semua mangsa berada di 10 pusat pemindahan di tiga daerah terjejas, Rompin, Temerloh dan Bera.

"Daerah Rompin kekal dengan jumlah mangsa seramai 980 orang daripada 253 keluarga yang masih berada tujuh pusat pemindahan sehingga jam 4 petang ini,"katanya.

Zainal berkata, PPS SK Pianggu masih menempatkan 283 mangsa daripada 82 keluarga, SK Sarang Tiong, 214 mangsa (45 keluarga), PPS Kampung Setajam, 187 mangsa (51 keluarga), Balai Raya Kg Rekoh, 122 mangsa (33 keluarga), Bukit Serok, 92 mangsa (21 keluarga), Balai Raya Kampung Denai, 49 mangsa (13 keluarga) dan Bukit Lepas, 33 mangsa (lapan keluarga).

"Di daerah Bera, 34 mangsa dari lapan keluarga berada di PPS Balai Raya Kampung Pasal dan Kompleks Rakan Muda," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, paras air Sungai Lepas di Stesen Jambatan Gelugor di sini melepasi paras amaran apabila merekodkan bacaan 29.35 meter.

"Turut melepasi paras amaran, Sungai Triang dengan bacaan 33.83 meter berbanding paras amaran, 33.80 meter sehingga jam 8 pagi tadi.

"Sehingga kini, tiga laluan masih ditutup kepada semua kenderaan iaitu, jambatan Lubuk Batu di Rompin yang dilimpahi air sedalam 3.70 meter dan Jalan Sungai Yap- Pasir Tambang di Jerantut dengan kedalaman air 0.35 meter dan Jalan Batu Kapor - Sungai Buloh di Mentakab dengan kedalaman air 0.85 meter," katanya.

Zainal berkata, Jalan Maran – Jerantut Benta (kuil),Jalan Maran- Jerantut Benta ( simpang Liyana Tomyam), di Maran, Jalan Ulu Retang- Merting (Ladang Sawit Air Hitam) di Jerantut dan Jalan Kemayan- Tembangau di Bera ditutup kepada kenderaan ringan.