X

Kindly register in order to view this article
!

Dr Mahathir tidak pernah berjumpa Azilah

A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak pernah berjumpa dengan bekas anggota pasukan Unit Tindakan Khas (UTK), Azilah Hadri yang dipenjara kerana membunuh wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata, terdapat cubaan untuk mengaitkan Dr Mahathir adalah orang kenamaan (VVIP) yang didakwa bertemu dengan Azilah yang sedang menanti hukuman gantung sampai mati di Penjara Kajang, Februari tahun ini.

Menurut kenyataan itu lagi, dakwaan tersebut timbul susulan laporan meluas mengenai reaksi Ahli Parlimen Langkawi itu yang dikatakan hanya menggelengkan kepala dan tersenyum apabila ditanya sama ada beliau pernah mengadakan pertemuan dengan anggota polis itu.

"Pejabat Perdana Menteri ingin menyatakan bahawa Tun Dr Mahathir tidak pernah berjumpa bekas anggota UTK, Azilah sejak dipenjara kerana membunuh Altantuya.

"Dr Mahathir juga menolak dakwaan bahawa kerajaan berada di belakang Azilah di sebalik pendedahan (oleh Azilah) yang mengaitkan penglibatan Datuk Seri Najib Tun Razak (bekas perdana menteri) dalam pembunuhan Altantuya seperti mana terkandung Surat Akuan Bersumpah (SD) Azilah.

"Memandangkan ini melibatkan proses undang-undang, kerajaan akan menyerahkan kepada pihak berkuasa yang berkaitan untuk membuat keputusan dan tindakan lanjut," katanya.

Terdahulu, Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib mendakwa bekas anggota Azilah dibawa keluar dari Penjara Kajang untuk bertemu seorang VVIP Februari lalu.

Semalam, Dr Mahathir ketika satu sidang media di Putrajaya hanya menggelengkan kepala dan tersenyum apabila ditanya sama ada beliau pernah mengadakan pertemuan dengan anggota polis itu.