Intelek bantu anak-anak tercicir pelajaran

Gambar kecil: Pengerusi INTELEK, Syed Haniff Syed Azni
Gambar kecil: Pengerusi INTELEK, Syed Haniff Syed Azni
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Intelek Wawasan Malaysia (Intelek) akan menjelajah ke seluruh negara dalam usaha memastikan anak-anak miskin bandar dan luar bandar tidak tercicir dalam pelajaran.

Pengerusi Intelek, Syed Haniff Syed Azni berkata, inisiatif itu diambil selepas 512,332 anak muda yang tercicir daripada mendapat pendidikan tertiari mahupun vokasional selepas tamatnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam tempoh dua tahun sebelum ini.

Menurutnya, terdapat 421,706 calon SPM pada tahun 2018 dan hanya 170,878 pelajar berjaya ditawarkan tempat pengajian manakala pada tahun sebelumnya, seramai 182,409 daripada 443,883 pelajar berjaya ditawarkan tempat pengajian ke peringkat seterusnya.

"Berdasarkan angka-angka ini, negara kehilangan hampir 60 peratus anak muda setiap tahun yang tidak mendapat tempat untuk meneruskan pengajian tapi tidak semua anak-anak muda ini gagal dalam peperiksaan SPM kerana ada yang tidak mempunyai peluang, tidak mengetahui cara memohon.

"Ada juga tidak berpeluang membuat rayuan ataupun tidak mempunyai maklumat bahawa terdapat banyak kursus-kursus lain seperti Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), kemahiran serta latihan industri yang disediakan kerajaan untuk mereka yang tidak minat dalam pengajian secara akademik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, atas dasar tanggungjawab dan prihatin, Intelek akan menjelajah ke negeri-negeri dan bandar-bandar dengan memfokuskan anak-anak miskin bandar dan luar bandar supaya peluang-peluang ini diketahui oleh mereka yang memerlukan.

"Impak dan limpah hasil daripada usaha ini akan membantu mereka menjadi tenaga pekerja, usahawan serta belia yang berpengetahuan dan berkemahiran dalam meningkatkan sosio-ekonomi tempatan dan akan menyumbang kepada ekonomi negara Malaysia pada masa akan datang.

"Kita amat mengharapkan agar anak-anak muda ini walaupun asalnya dari keluarga petani, mereka akan dilatih menjadi petani moden dengan mempelajari kemahiran dan teknik agrikultur yang betul di Kolej Pertanian untuk membantu meneruskan legasi keluarga serta merubah masa depan dan nasib keluarga," katanya.

Artikel Berkaitan:

Intelek adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diasaskan oleh sekumpulan graduan yang ingin menjadi jambatan anak-anak miskin bandar dan luar bandar dengan pihak Kerajaan.