Brendan harap tuah nombor jersi 88

Brendan Gan - Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI
Brendan Gan - Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI
A
A
A

MUNGKIN tidak keterlaluan jika dikatakan Selangor cukup beruntung apabila berjaya membawa masuk tonggak berprofil tinggi Harimau Malaya, Brendan Gan bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Selepas dua musim menabur bakti di Perak, Brendan yang juga pemain berdarah kacukan Malaysia-Australia membuat keputusan untuk menyertai Gergasi Merah.

Sebaik sahaja diperkenalkan secara rasmi sebagai pemain skuad Selangor 2020 semalam, Brendan mula melaungkan keazaman untuk menjulang Selangor ke puncak kemasyhuran sebagaimana yang pernah dikecapi sebelum ini.

Sambil menganggap Selangor sebagai sebuah pasukan yang mempunyai sejarah gemilang dalam arena bola sepak tanah air, Brendan berkata, dia menyahut cabaran menyertai Selangor kerana mahu mencipta lebih banyak kejayaan selepas menghadirkan impak positif ketika mewakili The Bos Gaurus.

“Seperti mana kita semua tahu, Selangor sememangnya sebuah pasukan yang sudah lama memiliki sejarah kejuaraan tersendiri dalam bola sepak negara ini. Jadi saya mahu menjadi sebahagian daripada sejarah yang mampu mencipta kejuaraan bersama Selangor.

“Saya berharap nombor (jersi) 88 yang saya pakai nanti akan membawa tuah untuk mengembalikan kegemilangan semula pasukan ini dalam penampilan pertama saya bersama Red Giants,” katanya.

Ketika ditanya sama ada dia akan menggunakan pengaruhnya memujuk seorang lagi tonggak Harimau Malaya, Mohamadou Sumareh bagi memperkuatkan cabaran Selangor, Brendan secara berseloroh menjawab: “Para pemain Selangor yang ada sudah cukup untuk mantap mencabar mana-mana trofi kejuaraan."

Sebelum ini, kalangan pemerhati terutamanya peminat bola sepak tempatan rancak memperkatakan tentang Sumareh yang disebut-sebut bakal menyarung jersi Selangor musim depan.

Artikel Berkaitan:

Begitupun, Ketua Jurulatih Selangor, B Sathianathan awal-awal lagi pantas menafikan khabar angin tersebut sambil memberitahu, berita seumpama itu sengaja ditimbulkan bagi tujuan sensasi semata-mata.

“Saya sebagai jurulatih tidak ada mendengar bahawa Selangor akan membawa masuk pemain itu (Sumareh). Saya tidak tahulah jika ada jurulatih Selangor selain daripada saya yang membuat kenyataan tentang perpindahannya (ke Selangor),” jelasnya.