Penyertaan wanita dalam bomba meningkat: Zuraida

Zuraida bersama pegawai kanan JBPM dan pelatih yang berjaya menamatkan latihan.
Zuraida bersama pegawai kanan JBPM dan pelatih yang berjaya menamatkan latihan.
A
A
A

MARANG - Kejayaan 44 pelatih wanita menamatkan latihan Kursus Sijil Sains Kebombaan (KSSK) Siri 1/2019 di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Timur di sini memberi sinar baharu dengan peningkatan penyertaan wanita dalam kerjaya sebagai anggota bomba.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, tahun lepas hanya dua pelatih wanita yang berjaya menamatkan latihan di ABPM Wilayah Timur.

Menurutnya, buat masa ini, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mempunyai 647 anggota bomba wanita berbanding jumlah keseluruhan anggota bomba seluruh negara iaitu 14,500 orang.

“Daripada jumlah itu, 32 orang terdiri daripada mereka yang bergred 41 ke atas manakala selebihnya adalah kumpulan pelaksana.

“Kita sudah ada pengarah bomba negeri wanita dan tiga wanita yang menjadi ketua balai. Dengan adanya jawatan-jawatan tertinggi di peringkat membuat keputusan daripada kalangan wanita, maka ia menjadi satu tarikan agar lebih ramai wanita menyertai karier kebombaan.

“Memang kita galakkan JBPM merekrut lebih ramai wanita kerana ada kerja khusus yang memerlukan kesantunan orang wanita seperti trauma dan bencana alam, yang memerlukan penglibatan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas merasmikan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Sijil Sains Kebombaan (KSSK) Siri 1/2019 yang diadakan di ABPM Wilayah Timur di Wakaf Tapai di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Mohammad Hamdan Wahid; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zamri Salleh dan Komandan ABPM Wilayah Timur, Abdul Khair Osman.

Artikel Berkaitan:

Pada majlis itu, seramai 689 pelatih ditauliahkan setelah mengharungi latihan selama empat bulan setengah.

Tiga pelatih menerima Anugerah Pelatih Terbaik iaitu Norman Affan Jumaat, 24, (Anugerah Menteri-keseluruhan terbaik); Nur Azrin Shahira Majid, 23, (Anugerah Ketua Setiausaha-teori terbaik) dan Mohd Nashrul Suhairi, 28, (Anugerah Ketua Pengarah-praktikal terbaik).

Sementara itu katanya, lebih 100 pemegang diploma dan 30 pemegang ijazah yang memohon untuk menjalani latihan kali ini menunjukkan semakin ramai yang menjadikan bomba sebagai karier pilihan.

“Ia sangat membanggakan kerana kita lihat ada trend yang menjadikan bomba sebagai karier dan mendapat sambutan daripada kalangan pemegang diploma dan ijazah. Ini akan menaikkan lagi taraf perkhidmatan bomba kepada masyarakat dan negara," katanya.