Pelajar kolej terselamat daripada rentung

Mangsa dikeluarkan menggunakan tangga tanpa sebarang kecederaan.
Mangsa dikeluarkan menggunakan tangga tanpa sebarang kecederaan.
A
A
A

PARIT - Tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan seorang penuntut kolej yang terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah dua tingkat di Puncak Iskandar, Seri Iskandar awal pagi tadi.

Dalam kejadian sekitar jam 1 pagi itu, Haikal Imran Ismail, 19, penuntut Kolej Profesional Mara gagal keluar akibat api marak.

Jiran mangsa, Mohd Hafizan Mohd Zain, 35, berkata, kejadian itu disedari selepas mendengar jeritan kuat meminta tolong.

Dia kemudiannya segera menjengah ke luar dan terlihat api marak di bahagian hadapan rumah yang disewa jirannya itu.

"Saya nampak mangsa cuba membuka pintu untuk menyelamatkan diri tetapi api di luar sudah marak dan menyambar pintu.

"Jiran lain turut cuba membantu tetapi gagal menyebabkan mangsa naik ke tingkat atas rumah," katanya.

Kebakaran turut memusnahkan tiga motosikal yang diletakkan di bahagian depan rumah.
Kebakaran turut memusnahkan tiga motosikal yang diletakkan di bahagian depan rumah.

Bimbang kejadian lebih buruk berlaku, Mohd Hafizan yang bertugas sebagai jurukamera TV9 segera menghubungi bomba.

Artikel Berkaitan:

"Api marak dengan cepat terutama di bahagian depan rumah, beberapa motosikal yang diletakkan di situ juga habis terbakar.

"Syukurlah anggota bomba yang tiba berjaya kawal kebakaran daripada terus merebak dan bertindak pantas menyelamatkan mangsa," katanya.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa tinggal sendirian kerana bekerja sambilan, sementara rakan serumah lain pulang ke kampung sempena cuti.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan, mangsa dikeluarkan menggunakan tangga tanpa sebarang kecederaan.

"Kebakaran ini hanya melibatkan bahagian hadapan rumah dan turut menyebabkan tiga motosikal musnah dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nazaria terbakar 40 peratus," katanya.

Operasi dijalankan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar itu tamat pada jam 1.52 pagi.

Api marak di bahagian hadapan rumah menyebabkan mangsa gagal selamatkan diri.
Api marak di bahagian hadapan rumah menyebabkan mangsa gagal selamatkan diri.