X

Kindly register in order to view this article
!

Kos sara hidup B40, M40 jadi fokus

Azih Muda
A
A

SHAH ALAM - Isu kos sara hidup golongan berpendapatan rendah (B40) dan golongan berpendapatan pertengahan (M40) dijangka menjadi fokus perbahasan pada Konvensyen Kongres Tritahunan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Ke-28 bermula hari ini hingga 19 Disember ini.

Presiden Cuepacs, Datuk Azih Muda berkata, beberapa usul lain berkaitan juga akan dibahaskan khusus tentang kesan ekonomi yang terpaksa dihadapi oleh ahli.

Menurutnya, semua pihak merasai kesan kos sara hidup yang semakin meningkat lebih-lebih lagi golongan tersebut.

“Kos sara hidup turut melibatkan keperluan harian rumah, kos makan dan minum, kos pendidikan dan sebagainya.

"Antara usul yang akan dibahaskan adalah berkaitan dengan dasar gaji permulaan, sistem saraan, elaun dan imbuhan, juga termasuk kemudahan-kemudahan yang sepatutnya dinikmati kakitangan awam.

“Dalam situasi ekonomi hari ini, sudah tentulah perkara yang melibatkan upah menjadi topik utama,” kepada Sinar Harian di sini semalam.

Tambah beliau, menjadi tanggungjawab Cuepacs memastikan nasib ahli terus dibela.

"Kerana itu selain memfokuskan untuk menentukan kepimpinan tertinggi Cuepacs, pelbagai perkara masih lagi perlu diperjuangkan terutamanya kos sara hidup ahli Cuepacs iaitu golongan B40 dan M40," katanya.

Katanya lagi, konvensyen itu nanti akan membentangkan hasil kerja dalam tempoh tiga tahun tanpa sebarang isu berbangkit.

"Kita akan mengesahkan apa-apa tugasan yang dibuat dan kita akan membincangkan dan membahaskan usul-usul yang akan dipanjangkan kepada kerajaan," katanya.

Azih bakal mengakhiri perkhidmatannya sebagai Presiden Cuepacs pada 19 Disember ini.

Kira-kira 1,400 perwakilan kongres bakal mengundi bagi menentukan kepimpinan tertinggi kesatuan itu minggu hadapan.

Konvensyen Tritahunan kali ke-28 kesatuan berkenaan bakal diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!