Hujan lebat di tiga negeri sehingga esok, Sabah sehingga Rabu

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), hari ini mengeluarkan amaran cuaca waspada peringkat kuning iaitu hujan lebat di beberapa daerah di Johor, Pahang dan Terengganu sehingga esok, manakala amaran sama di Sabah sehingga Rabu.

Hujan lebat dijangka melanda daerah Segamat, Kluang, Mersing, Kulai dan Kota Tinggi di Johor, manakala Pahang di Jerantut, Maran, Kuantan, Bera dan Rompin serta Dungun dan Kemaman di Terengganu.

Hujan lebat Monsun Timur Laut itu menyebabkan sembilan daripada 10 daerah di Johor dilanda banjir, manakala dua daerah di Pahang iaitu Rompin dan Temerloh turut terjejas.

Sehingga 1 tengah hari ini, seramai 9,435 orang daripada 2,258 keluarga dipindahkan di Johor dengan daerah yang terjejas ialah Muar, Mersing, Kota Tinggi, Kluang, Segamat, Pontian, Batu Pahat; Johor Bahru dan Kulai.

Di Pahang pula, hujan yang berlarutan sejak semalam menyebabkan mangsa banjir di Rompin meningkat sedikit tengah hari ini kepada 1,055 orang daripada 271 keluarga berbanding 1,003 orang daripada 256 keluarga pagi tadi, manakala di Temerloh seramai 19 orang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

Sementara itu, hujan lebat sehingga Rabu diramal melanda Keningau, Tambunan, Ranau, Kota Belud, Sandakan dan Kudat di Sabah.

Kriteria cuaca waspada atau jingga ialah hujan lebat berterusan (lebih enam jam) dijangka berlaku dalam tempoh satu hingga tiga hari atau hujan berterusan sedang berlaku tetapi belum mencapai tahap hujan lebat berterusan.

MetMalaysia turut mengeluarkan amaran angin kencang dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam dengan ombak mencapai 3.5 meter dijangka boleh berlaku di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur dalam tempoh itu.

Kejadian itu boleh mendatangkan risiko limpahan air laut di pesisir pantai dan muara sungai di kawasan terbabit. - Bernama
Artikel Berkaitan: