X

Kindly register in order to view this article
!

Peniaga didakwa rogol, amang seksual anak saudara

A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang peniaga dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudaranya berusia 15 tahun, dua tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh berusia 39 tahun berasal dari Selangor mengaku tidak bersalah bagi empat pertuduhan itu di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa sebanyak tiga kali iaitu di dalam bilik air dan dua lagi dalam bilik sebuah rumah di Marang kira-kira jam 8 malam hingga 2 pagi pada hujung November 2017.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lapan dan 30 tahun dan tidak kurang 10 sebatan jika disabitkan kesalahan.

Tertuduh turut didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di ruang tamu di rumah sama, kira-kira jam 9.30 malam pada hujung Disember 2017.

Dia didakwa dibawah Seksyen 377CA Kanun Keseksaan kerana melakukan amang seksual fizikal dan boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun penjara serta boleh dikenakan sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud meminta mahkamah tidak memberikan jaminan tertuduh, namun peguam Che Mohamad Zulkifly Jusoh merayu supaya dibenarkan jaminan terhadap anak guamnya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 3 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh melaporkan diri dua kali dalam tempoh sebulan di balai polis berhampiran sepanjang perbicaraan.

Tertuduh turut diberi syarat tambahan iaitu tidak boleh mengganggu mangsa serta ahli keluarga terdekat sepanjang prosiding selain menyerahkan pasport.