Banjir: Cuti anggota polis di Kuantan dibekukan

Mohd Noor
Mohd Noor
A
A
A

KUANTAN - Polis Kuantan membekukan cuti anggotanya sebagai persediaan menghadapi musibah banjir yang dijangka berlaku di daerah ini sekiranya hujan lebat berterusan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Noor Yusof Ali berkata, pihaknya perlu bersiap sedia dengan kekuatan anggota yang mencukupi bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

“Kita sudah bersiap siaga berdepan dengan banjir. Setakat ini kita sudah gerakan anggota untuk menjalankan pemantauan di beberapa lokasi iaitu di Panching, Kampung Seri Damai dan Sungai Lembing.

“Kawasan ini antara yang telah dikenal pasti berikutan bacaan air di Sungai Lembing, Sungai Belat dan Sungai Kenau berada di tahap waspada.

"Jadi ini memberikan kita petanda supaya bersedia bila-bila masa untuk digerakkan dalam bentuk yang lebih besar,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah Polis Kuantan hari ini.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan pembekuan cuti seperti ini merupakan amalan biasa lebih-lebih lagi sekiranya berlaku tragedi.

Dalam pada itu, Mohd Noor berkata, setakat ini beberapa anggota sudah digerakkan di Sungai Lembing dan Panching bagi memantau daripada laluan terputus akibat dinaiki air secara tiba-tiba.

Jelasnya, laluan yang dikenalpasti pasti ialah dari Kuantan ke Sungai Lembing dan Kuantan ke Panching.

Artikel Berkaitan:

“Setakat ini kita membuat pemantauan dari masa ke semasa tetapi bagi kawasan di sebelah timur sempadan Kemamam khususnya di kawasan Sungai Ular kebanyakan berlaku disebabkan limpahan air ke atas jalan tetapi dalam tempoh beberapa jam ia akan kembali surut.

“Walau bagaimanapun, elemen petanda dan tanda-tanda amaran kita telah letakkan dengan kerjasama dengan 'road care' di mana ada kenaikan air kita akan buat pengawasan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta agar penduduk setempat akur nasihat daripada pihak berkuasa jika diarahkan segera berpindah.