X

Kindly register in order to view this article
!

'Semak semula kenaikan gaji tahunan penjawat awam'

Mohd Razali (tengah) pada sidang media di Kesatuan Kakitangan Am Universiti Putra Malaysia hari ini.
A
A

SERDANG - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan menyemak semula kenaikan gaji tahunan penjawat awam di seluruh negara terutamanya membabitkan golongan B40 dan M40 agar selaras dengan kos sara hidup semasa.

Setiausaha Kewangannya, Mohd Razali Singah berkata, hampir sejuta penjawat awam terdiri daripada golongan itu yang masih terpinggir walaupun gaji dinaikkan.

“Kenaikan kira-kira RM100 setahun tidak setara dengan kos sara hidup.

“Gaji penjawat awam yang terlalu kecil perlu dirombak. Jika sistem ini masih lagi diguna pakai, yang terpinggir akan terus terpinggir.

“Perlu ada satu perubahan dasar yang baharu, dengan melaksanakan kenaikan gaji selaras dengan kos sara hidup,” katanya pada sidang media di Kesatuan Kakitangan Am Universiti Putra Malaysia (Kepertama) hari ini.

Sehubungan itu katanya, kenaikan gaji minimum 100 peratus iaitu RM200 setahun dilihat lebih bersesuaian dengan kos sara hidup kini.

Mohd Razali berkata, perkara itu akan dibincangkan lebih lanjut pada Konvensyen Tritahunan kali ke-28 kesatuan itu yang bermula esok sehingga Khamis ini di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).

Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan salah seorang daripada lima calon yang bakal bertanding jawatan presiden kesatuan itu akan mempertahankan Skim Pencen untuk setiap lantikan perkhidmatan awam.

Mohd Razali (tiga dari kiri) pada sidang media di Kesatuan Kakitangan Am Universiti Putra Malaysia hari ini.
Mohd Razali (tiga dari kiri) pada sidang media di Kesatuan Kakitangan Am Universiti Putra Malaysia hari ini.

Beliau berkata, perkara itu terkandung sebagai salah satu daripada lima perkara dalam manifestonya.

“Saya akan berjuang sedaya upaya untuk mempertahankan skim pencen setiap lantikan penjawat awam yang baharu,” katanya.

Menurut Mohd Razali, keputusannya untuk bertanding jawatan tertinggi kesatuan itu adalah bagi mengembalikan semula kegemilangan Cuepacs sebagai pembela utama penjawat awam.

“Saya mahu Cuepacs menjadi kesatuan yang bermaruah, disegani dan digeruni agar kebajikan penjawat awam tidak lagi diremehkan.

“Saya juga mahu Cuepacs tegas dalam menyatakan pandangan dan pendirian dan sentiasa ke hadapan dalam isu penjawat awam,” katanya.

Mohd Razali, berpengalaman berkhidmat bersama dua Presiden Cuepacs dan pernah menjawat jawatan Timbalan Setiausaha Kewangan dari 2010 hingga Ogos 2018.

Beliau juga merupakan Presiden Kepertama dari 2014 hingga kini dan Ahli Majlis-Majlis Bersama Kebangsaan Am.

ARTIKEL BERKAITAN: Lima calon bertanding jawatan Presiden Cuepacs

Selain Mohd Razali, persaingan lima penjuru jawatan tertinggi itu bakal membabitkan Setiausaha Agung Cuepacs, Adnan Mat dan Timbalan Presiden Cuepacs, Zainal Ismail.

Dua lagi calon adalah Presiden Kesatuan Pegawai Kastam Semenanjung Malaysia, Abdul Malik Mohamed Zin dan Presiden Kesatuan Pegawai-Pegawai Hutan Melayu Semenanjung Malaysia, Datuk Ahmad Shuffir Zakaria.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!