Banjir di Johor makin serius

Keadaan banjir dekat Jalan R&R Dusun Panti Jalan Mersing - Kota Tinggi.
Keadaan banjir dekat Jalan R&R Dusun Panti Jalan Mersing - Kota Tinggi.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Hujan sejak tiga hari lalu mengakibatkan sembilan daripada 10 daerah di Johor dilanda banjir dan bilangan mangsa terus meningkat seramai 9,151 orang.

Mengikut Sekretariat Pengurusan Bencana negeri, sebanyak 93 pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Mersing, Kota Tinggi, Kluang, Johor Bahru, Kulai, Pontian, Batu Pahat, Segamat dan Muar dibuka setakat jam 8 pagi tadi.

Daerah Kluang mencatatkan PPS terbanyak iaitu 28 diikuti Segamat (23), Kota Tinggi (18), Mersing (10), Johor Bahru (lima), Pontian (tiga), Batu Pahat (tiga), Kulai (dua) dan satu PPS di Muar.

Tiga laluan di Kota Tinggi pula dilaporkan masih terputus hubungan melibatkan Jalan Pasir Logok - Ladang Bukit Kelompok, Ladang Bukit Payung (Tenggaroh) dekat Kampung Tunjuk Laut dan Jalan Kampung Mawai Lama.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) masih mengekalkan amaran cuaca bahaya (merah) bagi daerah Mersing dan Kota Tinggi pada hari ini, manakala cuaca buruk (jingga) bagi daerah Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang dan Pontian, manakala amaran cuaca waspada (kuning) bagi Tangkak.

Artikel Berkaitan: