X

Kindly register in order to view this article
!

Ibu pegawai bomba maut kemalangan

Bomba menjalankan operasi bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit. - Foto: JBPM Perak
A
A

GERIK - Ibu kepada seorang pegawai bomba maut dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Kilometer 50, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli di sini hari ini.

Dalam kejadian sekitar jam 1 tengah hari itu, Nooraini Mohd Isa, 65, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Ketika kejadian, mangsa bersama anaknya yang bertugas di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan berusia 41 tahun menaiki kereta jenis Toyota Avanza dalam perjalanan dari arah Jeli ke Gerik.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, siasatan awal mendapati kereta terbabit dipercayai hilang kawalan lalu berpusing hingga masuk ke laluan bertentangan.

"Sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang berada di laluan itu tidak sempat mengelak lalu berlaku perlanggaran.

"Mangsa yang duduk di bahagian penumpang hadapan disahkan meninggal dunia akibat kecederaan di kepala manakala anaknya cedera ringan," katanya.

Menurutnya, kejadian itu turut menyebabkan empat sekeluarga termasuk bayi perempuan berusia dua bulan yang menaiki Perodua Myvi mengalami kecederaan.

"Pemandu kereta terbabit berusia 29 bersama anaknya berusia tiga tahun hanya cedera ringan, isteri yang duduk di bahagian hadapan mengalami patah kaki sementara bayi terbabit telah dirujuk ke HRPB (Hospital Raja Permaisuri Bainun) Ipoh untuk rawatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, pegawai bomba berkenaan telah ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Gerik untuk bedah siasat, mereka yang cedera ringan turut dirawat di hospital sama," katanya.