Lam Thye dilantik ahli kehormat seumur hidup MCPF

Lee Lam Thye
Lee Lam Thye
A
A
A

PUTRAJAYA - Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye dilantik sebagai ahli kehormat seumur hidup Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) yang pertama sejak penubuhan yayasan itu pada 1993.

Naib Pengerusi Kanan MCPF itu menerima sijil pelantikan daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga pengerusi yayasan berkenaan.

Upacara ringkas itu diadakan di pejabat Timbalan Perdana Menteri selepas mesyuarat majlis MCPF yang dipengerusikan oleh Dr Wan Azizah di Putrajaya semalam.

Keahlian kehormat seumur hidup itu dianugerahkan kepada Lee atas sumbangan cemerlangnya membantu mempromosikan aktiviti MCPF sejak 26 tahun yang lepas.

“Saya berbangga kerana dapat berkhidmat untuk MCPF dan selama ini memberikan sumbangan secara sukarela. Saya akan terus berkhidmat dan menggalakkan semua ahli untuk menyumbang kepada peningkatan objektif MCPF demi kepentingan keselamatan awam,” katanya.

MCPF adalah badan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan pada 11 Januari 1993.

Ia adalah cawangan Yayasan Pencegahan Jenayah Asia yang berpangkalan di Tokyo, Jepun. MCPF juga adalah cawangan pertama yang ditubuhkan di luar Jepun.

Yayasan itu dilancarkan secara rasmi oleh penaung pertamanya, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga penaung terkini MCPF atas kapasiti beliau sebagai perdana menteri. - Bernama

Artikel Berkaitan: