Ikan lumba-lumba 'hidup semula' selepas diselamatkan pelajar

Mohd Nur Aiman menyelamatkan ikan lumba-lumba yang ditemui terdampar di Pantai Tanjung Gelam, Kuala Nerus tengah hari semalam. (Seekor ikan lumba-lumba terdampar di Pantai Tanjung Gelam, Kuala Nerus semalam. - Foto UMT)
Mohd Nur Aiman menyelamatkan ikan lumba-lumba yang ditemui terdampar di Pantai Tanjung Gelam, Kuala Nerus tengah hari semalam. (Seekor ikan lumba-lumba terdampar di Pantai Tanjung Gelam, Kuala Nerus semalam. - Foto UMT)
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Tujuh pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berjaya menyelamatkan seekor ikan lumba-lumba terdampar di Pantai Tanjung Gelam, Kuala Nerus semalam.

Mohd Nur Aiman Suhaimi, 23, berkata, penemuan sekitar jam 1.30 tengah hari itu disedari penduduk kampung yang sedang membuat persiapan membuka kedai berhampiran lokasi kejadian.

Pelajar tahun akhir Sarjana Muda Sains (Biologi Marin) itu berkata, setelah mendapat maklumat, rakannya yang sedang bercuti menghubunginya agar segera menyelamatkan spesies jarang ditemui itu.

“Ketika itu saya sedang buat projek tahun akhir di makmal fakulti, kawan beritahu ikan itu masih boleh diselamatkan, jadi kami terus bergegas ke sana,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, sebaik tiba, ikan lumba-lumba terbabit kelihatan agak lemah, namun dilihat masih berusaha kembali semula ke laut.

Kumpulan pelajar berkenaan kemudian membasahkan ikan tersebut sebagai usaha menyelamatkannya sehingga ia memberi tindak balas positif dengan meronta-ronta untuk berenang.

“Kemudian saya dan kawan angkat ikan lumba-lumba dan berusaha lepaskan ke tempat yang lebih dalam,” katanya gembira dapat menyelamatkan haiwan berkenaan dan menganggarkan ia bukan ikan lumba-lumba dewasa.

Selain Mohd Nur Aiman, enam rakan lain yang turut membantu ialah Akalili Zanudin, Wan Amirul Syafiq Wan Nazari, Syakirah Sukery, Farah Syahirah Ishak, Syafiqah Nabilah Mutalib dan Nur Aini Othman.

Artikel Berkaitan:

Mohd Nur Aiman berkata, dia tidak pasti punca sebenar ikan itu terdampar, namun tidak menolak kemungkinan faktor arus kuat atau mengalami kecederaan.

“Ini kali pertama kami berdepan dengan situasi begini dan saya tak ingin lagi jumpa ikan lumba-lumba atau mana-mana hidupan laut dalam keadaan sebegitu lagi.

“Nasihat saya, kalau jumpa haiwan terdampar yang masih bernyawa, lebih baik selamatkan dengan cepat tetapi kalau sudah tidak bernyawa dan cedera parah, segera laporkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” katanya.