X

Kindly register in order to view this article
!

16 inisiatif bantu rakyat tahun depan

Aminuddin
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan mewujudkan 16 titik fokus atau inisiatif baharu tahun hadapan untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat yang memerlukan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, 16 titik fokus itu antaranya memperkasakan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), bantuan peralatan ‘orthophedic implant’, food bank, karnival kerjaya, geran taska majikan swasta dan Tabung Belia Harapan (Tabah).

“16 titik fokus baharu itu telah diluluskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perbekalan (Belanjawan) 2020 pada 27 November lepas dan paling membanggakan Negeri Sembilan merupakan negeri pertama di Malaysia yang menyediakan peruntukan menyelenggara sekolah dengan dana permulaan sebanyak RM1 juta melalui Akaun Amanah Penyelenggaraan Sekolah Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi 'Executive Talk' Pasca Belanjawan 2020 Negeri Sembilan anjuran Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri di Dewan Majlis Perbandaran Seremban di sini semalam.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Razali Ab Malik dan Pegawai Kewangan Negeri, Mohd Khidir Majid turut hadir pada sesi bertujuan memberi kefahaman dan penjelasan kepada kepimpinan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) negeri itu mengenai Belanjawan 2020 kerajaan negeri.

Aminuddin berkata, kerajaan negeri telah mewujudkan pelbagai inisiatif dan bantuan tahun ini bagi meringankan beban rakyat antaranya bantuan ibu tunggal, bas percuma bandar Seremban dan tambahan elaun pengerusi MPKK sebanyak RM900 sebulan.

"Kerajaan negeri bukan sahaja meneruskan segala bentuk bantuan yang telah dilaksanakan pada tahun ini, malah pelaksanaan inisiatif ini akan diperluas kepada kumpulan sasar yang lebih besar dan meningkatkan jumlah peruntukannya.

"Antaranya adalah bantuan anak sekolah yang dipanjangkan kepada pelajar miskin Tingkatan Satu, bantuan am bulanan Negeri Sembilan diselaraskan kepada kadar minimum RM200 sebulan, bas percuma ditambah sebanyak dua laluan baharu iaitu di Seremban dan Jempol serta Tabung Usahawan Negeri Sembilan (TUNS)," katanya.

Beliau berkata, 2020 adalah tahun bagi melihat hasil awal semua perancangan yang telah disusun sepanjang tahun ini.

Dalam pada itu, Aminuddin mengingatkan penjawat awam di negeri itu supaya menjadi pegawai yang bertanggungjawab, berkompetensi dan berintegriti.

"Bagi pemimpin MPKK pula, mereka adalah duta negeri dan ejen penyampaian maklumat. Teruskan menjadi rakan rapat kepada kerajaan dan penghubung antara rakyat dan jabatan. Perkukuhkan jati diri dan nilai murni dalam diri kita supaya kita menjadi pemimpin yang menjuarai hati rakyat melalui tindakan proaktif dan agresif dalam mencapai impian dan aspirasi kerajaan negeri," katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!