'Pulau Besar tidak akan dijual'

Adly (tengah) berjogging bersama Mohd Rafiq dan juga masyarakat DUN Paya Rumput ketika lawatan kerja di Taman Rekreasi Satu Krubong. (Tular di Facebook yang mengatakan Pulau Besar akan dijual kepada Singapura baru-baru ini.)
Adly (tengah) berjogging bersama Mohd Rafiq dan juga masyarakat DUN Paya Rumput ketika lawatan kerja di Taman Rekreasi Satu Krubong. (Tular di Facebook yang mengatakan Pulau Besar akan dijual kepada Singapura baru-baru ini.)
A
A
A

MELAKA TENGAH - Dakwaan pihak tertentu yang menyatakan Pulau Besar bakal dijual kepada Singapura tidak benar dan disangkal Ketua Menteri, Adly Zahari.

Adly berkata, walaupun kira-kira 80 peratus hak pemilikan hartanah Pulau Besar itu dimiliki syarikat swasta dan sebahagiannya oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) namun pihaknya menafikan dakwaan kawasan berkenaan akan dijual kepada negara jiran itu.

Menurutnya, kerajaan negeri sedang merancang untuk membangunkan pulau peranginan terbabit dengan kerjasama PKNM dan MAIM.

"Kerajaan negeri melalui Kementerian Wilayah Persekutuan memperuntukkan kira-kira RM9 juta bagi membangunkan pulau tersebut yang dijangka bermula tahun depan.

"Sebenarnya kita telah tubuhkan Jawatankuasa Perbadanan Pulau-Pulau dan bekerjasama dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi mereka bentuk pelan pembangunan Pulau Besar. Jadi tidak timbul soal Pulau Besar ini akan dijual kepada Singapura dan tanah itu dimiliki tiga pihak bagaimanapun 80 peratus daripadanya dimiliki syarikat swasta," katanya pada sidang akhbar di Bukit Rambai di sini.

Baru-baru ini tular di media sosial Facebook mengenai Pulau Besar dalam proses untuk dijual kepada Singapura susulan pusat tahfiz di sana akan dipindahkan ke Masjid Tanah.

Adly berkata, setakat ini pihaknya tidak tidak menerima sebarang tawaran berhubung perkara itu melainkan jika pemilik mutlak pulau berkenaan ada melakukan penawaran dan itu di luar kawalan pihak kerajaan negeri.

"Pulau Besar sebenarnya bukanlah menjadi hak milik kerajaan negeri sahaja tetapi ada juga milik individu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu Adly membuat lawatan kerja di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput yang turut dihadiri ADUN Paya Rumput, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.