X

Kindly register in order to view this article
!

Peralihan jawatan PM perlu diputuskan Majlis Presiden PH

A
A

SHAH ALAM - Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) perlu membuat keputusan secara konsensus sama ada peralihan kuasa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu berlaku pada Mei atau selepas November 2020.

Ketua Penyelidik Ilham Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, badan tertinggi dalam PH adalah Majlis Presiden selaku organisasi utama yang membuat semua keputusan penting termasuk proses peralihan kepimpinan negara daripada Dr Mahathir kepada Anwar.

"Sama ada telah ada perjanjian atau tidak bahawa proses transisi itu perlu berlaku dua tahun selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), itu adalah urusan Majlis Presiden PH untuk kendalikannya.

"Adakah ada peralihan tersebut sebelum atau selepas November 2020, sebaliknya PH perlu pastikan kerajaan kekal stabil dan boleh memberi khidmat terbaik kepada rakyat, itu yang paling penting," katanya kepada Sinar Harian semalam.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Serah kuasa Perdana Menteri selepas APEC 2020'

Menurut Mohd Yusri lagi, rakyat telah memberi mandat kepada PH untuk memerintah Malaysia melalui PRU14 dan perlu menjadi keutamaan.

Dr Mohd Yusri Ibrahim
Dr Mohd Yusri Ibrahim

"Paling penting pastikan peralihan tersebut berlangsung dengan lancar tanpa merisikokan negara dan rakyat. Jika Majlis Presiden PH boleh bersetuju transisi tersebut dilakukan selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada November 2020, bagi saya itu lebih baik, mungkin itu waktu yang lebih kondusif.

"Bagaimanapun semuanya bergantung kepada konsensus Majlis Presiden," katanya.

Dr Mahathir dalam wawancara kepada Reuters kelmarin menegaskan, beliau berjanji menyerahkan kuasa kepada Anwar dan perkara itu tidak akan berlaku sebelum APEC yang dijangka berlangsung di Kuala Lumpur pada November 2020.

"Saya berjanji menyerahkan kuasa dan saya akan kotakannya tetapi saya rasa perubahan segera sebelum sidang APEC akan menimbulkan gangguan.

"Setakat yang saya tahu, saya berundur dan menyerahkan kuasa kepadanya. Jika rakyat tidak mahu dia, itu hal mereka tetapi saya akan kotakan janji saya," kata Dr Mahathir.

Sementara itu, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen berkata, isu peralihan kuasa perlu dibincangkan di peringkat Majlis Presiden PH kerana perkara tersebut perlu diputuskan secara kolektif

Katanya, penetapan tarikh peralihan kuasa perlu berlandaskan prinsip demokrasi dengan mengambil kira suara parti komponen PH seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PKR, DAP dan Parti Amanah Negara serta Parti Warisan Sabah.

"Sesiapa boleh cakap berkenaan tarikh peralihan kuasa, tetapi bagi saya, akhirnya ianya perlu dibincangkan dan diputuskan secara demokratik di peringkat Majlis Pimpinan PH.

"Ia adalah cara terbaik kerana PH mengamalkan amalan demokrasi dalam membuat keputusan, bagi saya senang sahaja, tarikh itu perlu dibincangkan bersama-sama," katanya.

Dalam pada itu, Wong Chen yang merupakan Pengerusi Pelaburan dan Perdagangan PKR berkata, dalam pengetahuan beliau sendiri, sudah ada tarikh lain berhubung peralihan kuasa Perdana Menteri kepada Anwar.

Walau bagaimanapun, beliau enggan mengulas lebih lanjut mengenai perkara tersebut.

Selain itu, Naib Presiden PKR, Tian Chua pula berpendapat, berita peralihan kuasa Perdana Menteri bukan satu perkara baharu kerana ia sudah dibincangkan sejak tahun 2018.

Tian Chua
Tian Chua

Malah katanya, perkara itu sudah diulang banyak oleh Dr Mahathir yang menegaskan bahawa beliau akan menunaikan janjinya untuk menyerahkan kuasa kepada Ahli Parlimen Port Dickson itu.

"Bagi saya itu bukan adalah berita baharu kerana perkara ini sudah banyak kali disebut Perdana Menteri. Saya pun telah jelaskan tentang perkara ini dalam Kongres Nasional PKR baru-baru ini, jangan sebut lagi isu peralihan kuasa.

"Sekarang adalah lebih baik kita bincang bagaimana untuk menjadi tuan rumah terbaik kepada Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan tunjukkan kepada dunia bahawa negara kita mampu menjadi contoh kepada lain," katanya.