Terima kasih 'riders' dari Negeri Sembilan

Paparan Facebook Shamsul Ahmad tular di laman sosial.
Paparan Facebook Shamsul Ahmad tular di laman sosial.
A
A
A

BIDOR - "Saya ucapkan terima kasih pada semua riders dari Negeri Sembilan." tulis Shamsul Ahmad di Facebooknya selepas memuat naik beberapa gambarnya yang dibantu sekumpulan belia bermotosikal.

Menerusi posting itu, Shamsul Ahmad memberitahu dia pada awalnya mahu membantu seorang pemandu kereta Myvi berikutan tayar bocor setelah melanggar lubang di jalan Ladang Bikam, Bidor Perak.

Bagaimanapun secara kebetulan sekumpulan penunggang motosikal dari Negeri Sembilan melalui jalan tersebut sebelum berhenti dan membantu menukarkan tayar kereta milik gadis berbangsa Cina.

"Masa dalam perjalanan pulang ke Manjung melalui jalan Ladang Bikam, kereta Myvi di depan kami langgar lubang dan tayar belakang pancit.

"Tapi pemandu tak berhenti dan terus jalan, kami beri lampu dan akhirnya dia berhenti. Kami beritahu dia yang tayar belakang dia pancit, mungkin pecah lepas langgar lubang. Adik berbangsa Cina ni pun berhenti dan kami pun teruskan perjalanan," katanya.

Bagaimanapun katanya, dalam perjalanan dia bersama isteri mengambil keputusan berpatah balik untuk membantu gadis tersebut kerana bimbang keselamatannya ekoran jalan tersebut sunyi.

"Memang tak sedap hati bila teringat dia sorang wanita tersangkut di tengah ladang sawit seorang diri. Jadi kita pusing balik dan betul tengok dia seorang tak tahu apa nak buat.

"Kami ambil keputusan untuk bantu tukar. Baru nak tukar lalu penunggang motosikal seramai 20 orang dalam perjalanan pulang dari Manjung ke Negeri Sembilan.

Artikel Berkaitan:

"Isteri pun lambai mereka minta bantuan. Semua berhenti, tanya apa hal. Saya cakap kesian gadis ini tayar pancit. Dalam tiga hingga empat 'riders' ni pun bantu tukar tayar," tulisnya dan kini tular di laman sosial.

Penunggang motosikal yang baik hati dari Negeri Sembilan.
Penunggang motosikal yang baik hati dari Negeri Sembilan.

Menurutnya, masing-masing mainkan peranan termasuk jaga trafik dan semuanya selesai kurang 10 minit.

"Alhamdullilah. Adik perempuan Cina kita sangat berterima kasih dan saya ucapkan terima kasih pada semua 'riders' dari Negeri Sembilan. Semoga semuanya selamat dalam perjalanan.

"Saya dan isteri bersyukur pada ALLAH kerana dapat ikram sorang hamba ALLAH hari ni. Mungkin hari ni hari dia. Mungkin boleh jadi pada anak-anak kita juga.

"Wallahu 'Alam. Melihat bantuan dihulurkan tanpa mengira bangsa dan agama memang membuatkan kami teruja. There is still plenty of kindness around," katanya.

Shamsul Ahmad berkongsi pengalaman itu setelah mengingati satu hadis Rasullulah SAW dari Hazrat Ibnu Abbas RA; "Sesiapa yang berjalan untuk menunaikan hajat saudaranya dan dapat menyempurnakan hajat tersebut adalah lebih baik baginya dari beriktikaf 10 tahun. Sesiapa yang beriktikaf sehari kerana mencari keredaan ALLAH maka ALLAH akan jadikan antaranya dengan neraka tiga parit dan satu parit lebih lebar dari jarak antara bumi dan langit".

"Cuba bayangkan kalau kita beriktikaf selama 10 tahun betapa besar ganjarannya pada kita. Allahu Rabbi," tulisnya.