Undi Majlis Raja-raja tentukan Agong

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Undi Majlis Raja-raja bakal menentukan siapa bakal Yang di-Pertuan Agong ke-16 meskipun terdapat senarai tertentu yang terdapat dalam sistem penggiliran.

Pakar perundangan, Prof Madya Dr Shamrahayu A Aziz berkata kebiasaannya, Majlis Raja-raja akan menawarkan jawatan ketua negara itu kepada sultan yang berada dalam senarai teratas.

“Majlis Raja-raja ada senarai tertentu dan undian secara rahsia akan dijalankan kemudian keputusannya akan dimahsyurkan oleh Setiausahanya lalu dihantar ke Parlimen.

“Jadi di sini keputusannya amatlah bergantung kepada budi bicara Majlis Raja-raja itu sendiri,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, meskipun Yang di-Pertuan Agong meletakkan jawatan, kedudukan Timbalannya tidak terjejas.

“Kedua-dua jawatan ini berasingan. Bergantung kepada Majlis Raja-raja sama ada nak mengekalkan timbalan itu atau melantik yang baharu kerana lantikan itu boleh dibuat atas budi bicara Majlis Raja-raja itu sendiri.

Sementara Dr Muhammad Fathi Yusof berkata Majlis Raja-raja tidak terikat dengan sistem penggiliran sedia ada.

“Walau bagaimanapun, Majlis Raja-raja tidak terikat untuk membuat pemilihan berdasarkan pergiliran ini semata-mata.

Artikel Berkaitan:

“Majlis Raja-Raja boleh membuat keputusan yang berbeza atas beberapa asas iaitu faktor yang boleh menghilangkan kelayakan dan kemungkinan mana-mana raja menyatakan hasratnya untuk tidak dipilih atau dilambatkan gilirannya,” katanya.

Katanya, rakyat perlu memberikan kepercayaan dan kesetiaan kepada Majlis Raja-raja dalam menentukan pelantikan Yang di-Pertuan Agong malah sebarang keputusan perlu diterima dengan hati terbuka serta positif.

“Pilihan yang ada pada Majlis Raja-raja adalah luas. Keputusan yang dibuat itu juga berdasarkan pertimbangan-pertimbangan yang dinilai dalam mesyuarat berkenaan. Intipati perbincangan tentunya adalah rahsia.

“Tidak perlu bagi kita untuk mencari dan mengorek maklumat yang di luar tanggung jawab kita,” katanya.