'Tak sakit pun, macam gigit semut je'

Peserta program Moh Khatan Weh dimandikan dengan bantuan pihak bomba di pekarangan KPJ Pahang Specialist Hospital semalam.
Peserta program Moh Khatan Weh dimandikan dengan bantuan pihak bomba di pekarangan KPJ Pahang Specialist Hospital semalam.
A
A
A

KUANTAN - "Tak sakit pun... macam gigit semut je," itu kata seorang kanak-kanak berusia 8 tahun yang dikhatankan di Hospital KPJ Pahang Specialist, Tanjung Lumpur di sini semalam.

Harith Daris Mohd Musaimi yang merupakan murid dari Sekolah Kebangsaan Fakeh Abdul Samad adalah antara 120 peserta program Moh Khatan Weh anjuran KPJ Pahang Specialist Hospital.

Bapanya, Mohd Musaimi Ismail, 41, berkata, pengalamannya membawa anak kedua itu berkhatan tidak sesukar anak sulungnya beberapa tahun lalu.

"Harith tidak banyak kerenah, dia okey sahaja bila saya cakap hendak bawa dia berkhatan. Mungkin sebab dia sudah tengok abangnya berkhatan sebelum ini.

"Awalnya memang dia takut tapi bila sampai sini dia nampak seronok dan teruja," katanya yang tinggal di Taman Tas di sini.

Sebelum dikhatankan semua peserta diraikan dengan perarakan, dimandikan dengan bantuan pihak bomba dan acara memotong pulut kuning yang disempurnakan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Program itu melibatkan 13 orang doktor dan pembantu pegawai perubatan, 50 jururawat serta hampir 50 kakitangan sokongan.

Artikel Berkaitan:

Syed Ibrahim (tengah) menyuapkan pulut kuning kepada salah seorang peserta khatan.
Syed Ibrahim (tengah) menyuapkan pulut kuning kepada salah seorang peserta khatan.

Kanak-kanak yang menyertai program itu dipilih daripada keluarga kurang berkemampuan, orang asli, anak-anak gelandangan dan murid Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di sekitar Kuantan berusia 7 hingga 12 tahun.

Sementara itu, Pengarah Perubatan Kuantan Wellness and Care Centre (KCWC), Datuk Dr Khaled Mat Hassan berkata, KPJ dan Yayasan Pahang memperuntukkan lebih RM18,000 untuk menjayakan program itu yang turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bukit Ubi.

Menurutnya, ini merupakan program kali ketiga yang dianjurkan oleh KPJ Pahang dan pertama kali mendapat kerjasama daripada Yayasan Pahang dan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

Hadir sama, Pengerusi KPJ Pahang Specialist Hospital, Johar Ismail; Pengarah Eksekutif KPJ Pahang, Dr Munirah Khudri; Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Pahang, Yasser Arafat Ishak; Pengarah JAIP, Datuk Syed Ahmad Fuad Syed Taha dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, Datuk Mahmud Mohd Nawawi.