Pembahas tidak berkualiti dan memalukan, kata Azmin

Mohamed Azmin ketika berucap dalam majlis makan malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di Hotel Renaissance di sini hari ini. - Foto Sinar Harian MOHD IZARI ROSLI
Mohamed Azmin ketika berucap dalam majlis makan malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di Hotel Renaissance di sini hari ini. - Foto Sinar Harian MOHD IZARI ROSLI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meluahkan rasa malu terhadap kualiti pembahas pada Kongres Nasional PKR 2019 yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) semalam.

Beliau menyifatkan pembahas yang dipilih Majlis Pimpinan Negeri (MPN) tidak berkualiti apabila tidak menyentuh soal dasar yang menjadi kepentingan rakyat sebaliknya lebih kepada serangan peribadi.

“Saya malu dengan kualiti pembahas. Tidak berkualiti dan memalukan. Berbeza dengan dua lagi (dengan merujuk salah satunya iaitu Konvensyen Nasional Amanah).

“Lihat Amanah, Presidennya mengiktiraf sumbangan ahli Kabinetnya yang menyumbang kepada negara. Bila berbahas, mereka menyentuh isu rakyat. Itu pembahas Amanah.

“Ini yang kononnya reformasi tapi menyentuh soal pengkhianat, keluar, pecat, kartel,” katanya pada Majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di Hotel Renaissance, hari ini.

Turut hadir tiga Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin, Tian Chua dan Ali Biju; ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, R Sivarasa; Ketua Wanita PKR, Haniza Mohamed Talha; Timbalan Ketua Wanita PKR, Dr Daroyah Alwi dan Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Hilman Idham.

Hadir sama bekas Timbalan AMK, Dr Afif Baharudin.

ARTIKEL BERKAITAN: Perwakilan keluar dewan luar kawalan, kata Anwar

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pertemuan dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 4 Disember lalu telah memperincikan pemilihan pembahas perlulah berkualiti kerana parti itu mewakili kerajaan.

“Tetapi mereka langsung tidak menyentuh soal perumahan, pekerjaan, ekonomi, pendidikan.

“Malah dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 juga tidak disebut. Adakah kerana dasar itu datangnya dari Kementerian Hal Ehwal Ekonomi?,” katanya.

Azmin juga menegaskan, beliau terbuka menerima teguran pembahas melibatkan isu dasar, bukan serangan bersifat peribadi.

“Saya diberikan amanah melancarkan sayap Wanita dan AMK, ia berjalan lancar, aman dan baik. Saya tidak sentuh isu Si Kitol atau sebagainya.

“Ini kerana saya mahu buktikan PKR menjadi parti yang berkualiti, ahli dan pemimpin yang berakhlak tetapi akhirnya cakap tidak serupa bikin,” katanya merujuk kepada ucapan pembahas pada kongres tersebut.