'Ampun tuanku, patik kurang setuju...'

Paparan Twitter baginda yang mendapat perhatian netizen.
Paparan Twitter baginda yang mendapat perhatian netizen.
A
A
A

PENULARAN video murid sekolah menyanyikan lagu kebangsaan Negaraku dalam bahasa Mandarin mendapat perhatian semua pihak, tidak terkecuali Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Dalam entri di akaun Twitter hari ini, baginda memuat naik pandangan peribadinya berhubung isu tersebut.

Menurutnya, tidak menjadi satu kesalahan untuk menyanyikan lagu Negaraku dalam apa bahasa sekalipun kerana keutamaan adalah semangat patriotisme.

"Bagi saya, lagu kebangsaan kita 'Negaraku' dengan rasminya dinyanyikan dalam bahasa Melayu bahasa kebangsaan kita tetapi tidak salah kalau dinyanyikan dalam bahasa dialek Cina, Arab, Hindi, Tamil, Inggeris dan sebagainya, asalkan dinyanyikan dengan penuh semangat patriotik dan kebanggaan," ciapnya.

Hantaran itu bagaimanapun mengundang respons netizen yang tidak sependapat dengan baginda dan menekankan bahasa adalah satu elemen untuk menjalinkan muhibah antara masyarakat.

"Ampun tuanku. Saya kurang setuju. Lihat Singapura, walaupun 90 peratus bertutur dalam bahasa Inggeris dan Mandarin, lagu Kebangsaan tetap dinyanyikan dalam bahasa Melayu. Jelas sekali, bahasa adalah satu elemen untuk menjalinkan muhibah, tuanku. Negaraku mesti bahasa Melayu. Wajib. Ampun tuanku.

"Kalau untuk menghayati, boleh saja diterjemahkan dan diajarkan tapi tidak patut dinyanyikan dalam bahasa lain. Ampun Tuanku, saya berbeza," ciap @rosetamj pula.

Selain @rosetamj, pengguna lain laman sosial itu turut menyokong pandangannya kerana menyifatkan rakyat Malaysia yang gagal menyanyikan lagu Negaraku adalah seorang yang sungguh memalukan.

Artikel Berkaitan:

"Ampun tuanku, pada pandangan saya sebagai rakyat Malaysia, adalah sangat memalukan jika sebagai rakyat, kita gagal menyanyikan, memahami lagu kebangsaan Malaysia dalam bahasa Kebangsaan.

"Bahasa jiwa bangsa. Bangga dengan bahasa kebangsaan kita sendiri," ciapnya.

Kata @kucaufatin pula, "Ampun tuanku. Patik yang hina tidak bersetuju. Lagu Negaraku berfungsi sebagai penyatuan rakyat Malaysia berbilang kaum, Tuanku. Jika dinyanyikan dalam bahasa lain, ia mencabar perkara-perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Ampunkan patik, tuanku."

Hantaran baginda sehingga kini dihujani pelbagai komen daripada netizen di mana ada yang bersetuju dan ada juga yang tidak bersependapat.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Lagu Negaraku sudah diwartakan, tidak boleh diubah'