169 saman dikeluarkan terhadap kenderaan perdagangan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 169 saman melibatkan kenderaan perdagangan dikeluarkan dalam Op Kenderaan Perdagangan yang dijalankan di Lebuhraya Utara-Selatan dari Plaza Tol Tanjung Malim hingga ke Plaza Tol Jalan Duta di sini, bermula 1 pagi Sabtu hingga lewat malam tadi.

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Superintendan Dr Bakri Zainal Abidin berkata, daripada jumlah itu, 43 saman melibatkan kesalahan meletakkan kenderaan di lorong kecemasan.

“Antara alasan yang diberikan oleh mereka adalah kerana mengantuk. Akibat mengantuk, mereka memberhentikan kenderaan mereka tanpa menuju ke hentian rehat dan rawat (R&R) yang disediakan oleh syarikat pengendali lebuh raya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Plaza Tol Jalan Duta awal pagi ini.

Operasi itu telah bermula sejak Khamis lepas dan dijalankan berterusan sehingga esok.

Beliau berkata, antara kesalahan lain yang dilakukan oleh kenderaan perdagangan adalah tidak mempunyai lesen memandu, tidak mempunyai lampu belakang dan lain-lain kesalahan teknikal.

Selain itu, tindakan segelintir pemandu kenderaan berat yang tidak bertanggungjawab itu dengan meletakkan kenderaan di lorong kecemasan tanpa papan tanda kecemasan boleh mengakibatkan kemalangan terutama motosikal yang datang dari arah belakang.

“Penunggang motosikal sering menjadi mangsa akibat melanggar lori-lori ini dari belakang kerana kenderaan perdagangan ini tidak meletakkan sebarang papan tanda kecemasan ketika memberhentikan kenderaan.

“Bagi memastikan perkara itu tidak berlaku, operasi dan penguatkuasaan sejak Khamis lepas dijalankan sehingga esok bagi memberi kesedaran kepada pemandu kenderaan berat,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: