'Baby D' Abby Abadi meninggal dunia

Abby Abadi sedang mengerjakan umrah bersama keluarganya sejak 5 Disember lalu.(Instagram Abby Abadi )
Abby Abadi sedang mengerjakan umrah bersama keluarganya sejak 5 Disember lalu.(Instagram Abby Abadi )
A
A
A

ANAK kepada pelakon Abby Abadi, Muhammad Danial Firman Faizal Muhammad Faizal disahkan meninggal dunia malam tadi selepas dua bulan bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU).

Bayi pramatang itu dilahirkan dengan berat 535 gram pada 27 September lalu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4, Lembah Keramat di sini pagi ini.

Berita sedih itu dikongsi dalam Instagram milik Abby Abadi yang turut berkongsi wajah terakhir Allahyarham anaknya menerusi sebuah klip video.

Pelakon Gerak Khas itu turut memohon maaf kerana tidak berada di sisi Muhammad Danial Firman Faizal kerana mengerjakan umrah bersama keluarganya sejak 5 Disember lalu.

Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 41, pada hantaran sama berkata, “Kali terakhir jumpa Baby D iaitu sebelum kami pergi menunaikan umrah. Maafkan Mama dan Abah sayang. Tarik kami masuk syurga nanti ya sayang.

“Urusan jenazah akan disempurnakan hari ini oleh keluarga,” katanya.

Turut bersedih, suaminya, Muhammad Faizal memberitahu, dia tidak sempat menatap wajah anaknya buat kali terakhir.

“Hari kedua kami di Makkah, Baby D meninggalkan kami. ALLAH pinjamkan dia sekejap sahaja.

Artikel Berkaitan:

"Sedih sangat sebab abah tidak dapat jumpa Baby D untuk kali terakhir.

“Abah tidak dapat uruskan Baby D. Maafkan abah sayang sebab tidak dapat menguruskan baby untuk kali terakhir. Abah doakan moga ALLAH temukan kita di syurga nanti,” tulisnya.

Terdahulu, Abby selamat melahirkan bayi lelaki itu pada 27 September lalu secara pembedahan selepas mengalami tumpah darah disebabkan tekanan darah tinggi.

Pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 14 Ogos 2015 itu turut mempunyai dua anak angkat, Muhammad Daiyan Fayyad dan Maisara Dayana Fathia.

Menerusi perkahwinan terdahulu, Abby dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Mohamed Danish Hakim, 16, Marissa Dania Hakim, 14 dan Maria Danisha Hakim, 11.