NGO sukarelawan perlu berkawan antara satu sama lain

Program #cakaplah bertajuk Kerja Sukarela: Kenapa Kami Terlibat? di Dewan Tun Canselor, Univerisiti Multimedia Malaysia (MMU) Cyberjaya di sini hari ini.
Program #cakaplah bertajuk Kerja Sukarela: Kenapa Kami Terlibat? di Dewan Tun Canselor, Univerisiti Multimedia Malaysia (MMU) Cyberjaya di sini hari ini.
A
A
A

CYBERJAYA - Pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) yang terlibat dalam kerja-kerja sukarela perlu berkawan dan ambil tahu antara satu sama lain bagi memudahkan pergerakan secara koordinasi dalam menjayakan misi kesukarelawan kepada kumpulan sasar.

Selebriti, Hafiz Hamidun berkata, ia bukan sekadar memastikan urusan dipermudahkan serta matlamat tercapai tetapi juga turut membolehkan sukarelawan belajar pelbagai perkara.

Menurutnya,pengalaman berdepan bencana banjir di Kelantan beberapa tahun lalu memberi makna cukup besar bagi dirinya selain mengajarnya kepentingan berkawan dalam NGO serta bekerja secara berkumpulan di lapangan.

"Saya berada di Kuala Krai, Kelantan dan 'tersangkut' tiga empat hari di sana kerana jalan dinaiki air. Waktu itu apa sahaja makanan yang ada itulah yang dimakan dan situasi tersebut lebih mengajar saya erti bersyukur.

"Bertitik-tolak daripada itu, saya turut gunakan Facebook sebagai medium mengajak orang ramai yang ingin salurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di Kelantan. Hasil sumbangan itu dibawa kepada mangsa dengan Mas kargo, menumpang bersama-sama bekalan bantuan Mercy Malaysia.

"Kerja-kerja sukarelawan ini sebenarnya untuk orang tua sebaliknya orang muda, di Pantai Timur ketika itu ramai anak-anak muda tampil sama-sama bersatu termasuk daripada mereka yang punyai kemudahan kenderaan seperti lori dan inilah pentingnya untuk NGO kerja-kerja sukarela berkawan," katanya.

Pengalaman dilaluinya itu dikongsikan Hafiz sewaktu program #cakaplah bertajuk Kerja Sukarela: Kenapa Kami Terlibat? di Dewan Tun Canselor, Univerisiti Multimedia Malaysia (MMU) Cyberjaya di sini hari ini.

Personaliti TV, Fitri Musa bertindak sebagai moderator dan tiga panelis lain turut diundang ialah selebriti, Farah Fauzana; Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Mission Malaysia, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin serta Pengasas Bersama Food For Gelandangan(FFG), MOhd Azizan Zainal Abidin.

Artikel Berkaitan:

Hafiz yang juga penyanyi dan komposer terkenal tanah air berkata meskipun kepuasan membantu orang itu sesuatu yang subjektif namun bagi dirinya beliau berasa puas apabila dapat pergi jauh(turun lapangan) bersama-sama kumpulan sukarelawan.

"Mungkin apabila di pejabat kita seorang ketua, namun apabila turun di lapangan kita perlu ubah semua itu dan berperanan sebagai sukarelawan lain. Kita dapat belajar macam-macam seperti mensyukuri nikmat, hormati pandangan orang lain serta buat kerja secara berkumpulan.

"Misi kemanusiaan ini sebenarnya pelbagai sudut dan cara boleh dilakukan tetapi yang pasti pengajarannya ia boleh terbit rasa bersyukur kerana kehidupan kita yang sekejap ini tidak tahu bila akan berakhir. Kita semua boleh berperanan mengikut ruang dan kapasiti sendiri.

"Saya tiada NGO berdaftar, cuma atas kapasiti sendiri sahaja dan dengan adanya pengikut di laman sosial secara tidak langsung boleh dimanfaat untuk kita ajak orang ramai sama-sama hulurkan tangan bantu masyarakat," ujarnya.

Tambahnya lagi, menyentuh mengenai kelompok individu penghidap HIV stigma masyarakat bukan sekadar perlu diubah tetapi komuniti khususnya sukarelawan perlu turut sama menyelami kehidupan mereka kerana jika tidak diselami perasaan mereka kita tidak akan tahu impak kerja-kerja sukarelawan yang dibuat.