X

Kindly register in order to view this article
!

Syor had umur minimum kahwin 18 tahun

Norazlinawaty
A
A

MELAKA - Perwakilan Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan mencadangkan agar had umur minimum untuk berkahwin dinaikkan daripada 16 tahun kepada 18 tahun.

Perkara itu dibangkitkan wakilnya, Norazlinawaty Jaafar yang mahukan perkara itu diberi perhatian berikutan banyak unsur negatif berlaku dalam perkahwinan yang melibatkan wanita bawah umur.

Menurutnya, mengikut hukum syarak dan agama Islam memang ia dibenarkan namun ia perlu dilihat dari skop yang lebih luas termasuk dari sudut ekonomi, kesihatan dan pendidikan dan hak anak-anak itu sendiri.

"Jangan jadikan agama sebagai jambatan bagi menghalalkan cara kerana jelas dan nyata di antara kes-kes perkahwinan di bawah umur disebabkan terlanjur, kemiskinan dan kemahuan ibu bapa sendiri.

"Sepatutnya ketika ini mereka masih lagi meneruskan pelajaran namun akhirnya mengendong bayi ke sana ke mari sekiranya perkara ini (perkahwinan bawah umur) dibenarkan berlaku," katanya ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Wanita PKR di Kongres Tahunan Wanita PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.

Katanya, dalam dunia yang semakin mencabar seharusnya ibu bapa tidak menafikan hak anak-anak dalam menikmati zaman kanak-kanak dan remaja.

Dalam pada itu, Norazlinawaty berkata, statistik penceraian pada masa kini juga sangat menakutkan dan seharusnya golongan di bawah umur tidak menjadi mangsa disebabkan perkahwinan di usia remaja.

"Anak-anak yang tidak matang ini sewajarnya diberikan pembelaan,didikan sempurna, ruang dan peluang sebelum menjadi wanita yang hakiki.

"Jauhkan diskriminasi terhadap wanita dan anak-anak di bawah umur, jadi kita mencadangkan umur minimum perkahwinan dinaikkan kepada 18 tahun dan menolak perkahwinan bawah umur," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus