Muafakat Nasional tak jejas pengaruh Amanah: Mat Sabu

Mohamad ketika sidang akhbar di Konvensyen Nasional Amanah 2019 yang diadakan di IDCC Shah Alam. - FOTO ROSLI TALIB
Mohamad ketika sidang akhbar di Konvensyen Nasional Amanah 2019 yang diadakan di IDCC Shah Alam. - FOTO ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Amanah Nasional (Amanah) menolak dakwaan kerjasama Muafakat Nasional antara UMNO dan Pas menjejaskan dan menenggelamkan pengaruh parti itu dalam kalangan masyarakat Melayu.

Presidennya, Mohamad Sabu sebaliknya mendedahkan sokongan mereka terhadap Amanah meningkat mendadak terutama dengan pertambahan ahli paling ramai dari cawangan Pasir Mas dan Pengkalan Chepa.

Bagaimanapun, beliau menegaskan senario kemunculan ramai ahli baharu secara mendadak itu menyebabkan proses penubuhan cawangan parti itu berjalan agak perlahan.

"Cuma (usaha) pengurusan kami menubuhkan cawangan (parti) agak perlahan kerana kemunculan ramai ahli secara mendadak.

"Bilangan terkini ahli Amanah adalah dalam lingkungan 200,000 orang dan kita yakin sokongan (rakyat) terhadap parti akan terus meningkat," katanya pada sidang media pada Konvensyen Nasional Amanah 2019 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini hari ini.

Mengenai dakwaan kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai berpunca calon MCA dibantu Muafakat Nasional, Mohamad yang juga Menteri Pertahanan sekali lagi menafikannya.



Mohamad menyampaikan ucapan pada Konvensyen Nasional Amanah 2019 yang diadakan di IDCC, Shah Alam. - FOTO ROSLI TALIB
Mohamad menyampaikan ucapan pada Konvensyen Nasional Amanah 2019 yang diadakan di IDCC, Shah Alam. - FOTO ROSLI TALIB

Beliau menegaskan, post mortem mendapati maklumat perubahan besar dibuat kerajaan dalam pentadbiran negara yang tidak sampai kepada rakyat merupakan faktor utama kekalahan calon PH di PRK Parlimen Tanjung Piai.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu, kita mempergiatkan usaha memberi penerangan kepada rakyat termasuk memperkenalkan perubahan besar dalam institusi pentadbiran negara apabila Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) diketuai Ahli Parlimen pembangkang.

"Tetapi bagi rakyat umum, perubahan seperti ini mereka kurang nampak kerana mereka mahu melihat perubahan fizikal," katanya.

Ditanya bagaimana Amanah cuba menghindari amalan cah keting atau budaya cai dalam pemilihan julung kali diadakan parti itu sempena konvensyen kali ini, Mohamad menegaskan, Jawatankuasa Lembaga Tatatertib parti akan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa didapati melanggar peraturan parti.