IPT perlu perkukuh jaringan komunikasi

Prof Dr Ahmad Zainuddin (kiri) dan Mahmud ketika sidang media semalam.
Prof Dr Ahmad Zainuddin (kiri) dan Mahmud ketika sidang media semalam.
A
A
A

KUANTAN - Institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini perlu memperkukuhkan komunikasi dalam usaha mengembangkan bakat digital anak muda.

Naib Cancelor Kolej Universiti Yayasan Pahang, Datuk Profesor Emeritus Dr Ahmad Zainuddin berkata, ia berdasarkan hasil pembentangan kajian dibuat lima IPT pada Persidangan Kebangsaan Strategi Perkembangan Bakat Digital yang diadakan di kampus utama universiti tersebut di Tanjung Lumpur di sini semalam.

Menurutnya, menerusi persidangan itu pihaknya bersama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Cosmopoint membuat perbincangan intelektual tentang ilmu dan informasi terkini mengenai fenomena, cabaran serta pelbagai isu berkaitan perkembangan bakat digital.

"Persidangan bertujuan memberi kesedaran dan kefahaman kepada lebih 130 peserta untuk mengaplikasikan digital di pusat pengajian tinggi dan pekerjaan.

"Pada masa sama memberi kefahaman dan kesedaran kepada peserta kalangan ahli dan bukan ahli akademik dalam mengaplikasikan digital di sektor pengajian tinggi dan seterusnya pekerjaan," katanya pada sidang akhbar persidangan itu di Kompleks Utama KUYP.

Beliau berkata, pada akhir persidangan peserta dapat mengembangkan jaringan komunikasi dan membentuk kolaboratif pintar bagi tujuan penyelidikan, penerbitan ilmiah atau aktiviti akademik.

Sementara itu, Pengurus Besar Yayasan Pahang, Datuk Mahmud Mohd Nawawi berkata, teknologi digital mampu memberi impak besar dari sudut sosio ekonomi manusia.

Menurutnya, Malaysia khasnya Pahang perlu meneladani negara China yang menunjukkan kesan transformasi amat besar hasil penglibatan maksimum mereka terhadap ekonomi digital.

Artikel Berkaitan:

"Ini adalah ilmu yang perlu diteroka. Kalau kita betul-betul manfaatkan terutama ketika zaman belajar saya yakin semua ekonomi di Malaysia juga boleh jadi digital," katanya.

Beliau yang mewakili Menteri Besar Pahang, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, aplikasi Pahang Go kini mencecah lebih 5,000 pengguna.

Menurutnya semua perkhidmatan yang digunakan oleh rakyat negeri ini termasuk pembayaran cukai, bil, parkir dan hebahan informasi terkini dapat dimanfaatkan menerusi platform digital itu.