X

Kindly register in order to view this article
!

Tiga sekeluarga rentung kebakaran dua rumah

Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang rentung dalam kejadian kebakaran melibatkan dua rumah di Jalan Binjai, Pekan Pandamaran awal pagi tadi.
A
A

KLANG - Tiga sekeluarga rentung dalam kejadian kebakaran melibatkan dua buah rumah kayu di Jalan Binjai, Pekan Pandamaran di sini awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba I Hafisham Mohd Noor berkata, kejadian melibatkan dua rumah papan pada jam 3.12 pagi itu turut menyebabkan seorang penghuni melecur 50 peratus.

Menurutnya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor menerima panggilan sebelum 24 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Port Klang dan Andalas dikejarkan ke lokasi.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan dalam rumah menemui tiga mangsa yang rentung dalam bilik tidur.

"Mangsa yang terkorban adalah dua perempuan dikenali sebagai Yoke Moi, 70; Soon See Eng, 54, dan seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU), Ang Kar Hian berusia 22 tahun.

"Lelaki yang melecur di seluruh badan dikenali sebagai Ang Cheng Kiat, 55, manakala yang terselamat masing-masing seorang lelaki dan perempuan Ang kar Chun, 27 dan Ang Kam Siew, 30," katanya.

Menurut Hafisham, kebakaran berjaya dikawal daripada merebak ke sebuah lagi rumah terletak bersebelahan.

Katanya, mangsa yang melecur dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk mendapatkan rawatan.