Tak sempat curi panadol

Suspek yang ditahan.
Suspek yang ditahan.
A
A
A

KULIM - Seorang penagih dicekup selepas mencuri panadol di sebuah pasar raya, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superitendan Ahmad Naser Jaafar berkata, kejadian disedari pekerja pasar raya apabila melihat dua lelaki dalam keadaan mencurigakan pada jam 7 petang.

Menurutnya, seorang daripadanya telah memasukkan panadol dalam bakul dari tempat penjagaan kesihatan.

"Kemudian pekerja mengekorinya sehingga sampai di bahagian jualan sabun dan melihatnya memasukkan barang iaitu beberapa kotak panadol yang telah diambil sebelum itu ke dalam beg sandangnya.

"Pekerja itu menahan suspek dan membuat pemeriksaan tetapi suspek melarikan diri bersama barang yang dicuri dengan melompat keluar di bahagian kaunter juruwang," katanya.

Beliau berkata, rakan suspek yang tidak sempat melarikan diri ditahan pekerja tersebut dan rakan sekerjanya sebelum diserahkan kepada polis.

"Pemeriksaan lanjut mendapati 55 kotak panadol pelbagai jenis telah dicuri dengan anggaran kerugian sebanyak RM806.71.

"Suspek yang berusia 22 tahun dari Permatang Pauh Pulau Pinang tidak mempunyai rekod jenayah.

Artikel Berkaitan:

"Hasil pengakuan awal dia tidak mengaku terlibat dalam kejadian ini. Siasatan lanjut akan diteruskan selepas perintah reman mahkamah dan rakan suspek masih diburu," katanya.

Kes disiasat bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.