PGBF fokus siapkan 4,794 unit rumah

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) kini memberi fokus untuk menyiapkan sebanyak 4,794 unit rumah membabitkan dana RM250 juta melalui Kertas Putih Felda.

Unit Komunikasi Korporat Felda melalui satu kenyataan media hari ini memaklumkan, pembinaan berkenaan sudah 70 peratus siap sekali gus dapat menyelesaikan isu perumahan generasi baharu Felda secara lebih mampan.

Kenyataan media itu menyebut pengurusan Felda menjalankan kerja-kerja membangunkan semula projek PGBF di 20 tapak yang dikenal pasti.

“Sehingga kini, sebanyak sembilan projek melibatkan 1,698 unit rumah mendapat pentauliahan Perakuan Siap dan Pematuhan (Certificate of Completion and Compliance-CCC).

“Sebanyak 1,070 unit rumah atau 63 peratus sudah diserahkan kunci manakala 628 unit masih dalam proses penyerahan kepada peserta,” kata kenyataan itu.

Antara projek yang diserahkan kunci ialah Felda Padang Piol, Felda Sungai Tiang, Felda Selancar 4/5, Felda Selendang 2, Felda Keratong 4, Felda Sungai Koyan 1B, Felda Pasoh 1, Felda Pasir Besar dan Felda Inas Utara.

Kenyataan itu juga berkata, kerajaan serta pengurusan Felda sentiasa bekerja keras menyelesaikan pelbagai isu terutama melibatkan tadbir urus yang lemah sebelum ini.

PGBF adalah inisiatif yang diumumkan pada 2013 untuk membantu dalam pemilikan kediaman bagi generasi baharu Felda di samping mengoptimumkan penggunaan tanah kosong di kawasan rancangan itu.

Artikel Berkaitan:

Sebanyak RM1.5 bilion peruntukan dijanjikan kepada Felda untuk menyediakan 20,000 unit rumah.

Bagaimanapun, sehingga 2017 agensi itu hanya menerima RM200 juta daripada kerajaan ketika itu walaupun sudah membelanjakan RM710 juta termasuk melalui dana dalaman untuk melaksanakan projek tersebut.

Berikutan kekangan kewangan, Felda hanya mampu memulakan pembinaan sebanyak 8,314 unit rumah sahaja berbanding sasaran 20,000 unit namun 648 unit sahaja berjaya diserahkan kepada pemilik sehingga Mei 2018.

Justeru, Kerajaan Pakatan Harapan menerusi pengumuman Kertas Putih Felda di Parlimen pada 10 April lalu menyalurkan dana RM 250 juta untuk memberi nafas baru kepada projek PGBF demi menjaga kebajikan generasi baharu Felda.